Dua kenderaan rosak akibat bangunan rumah kedai runtuh

Berdasarkan maklumat awal daripada pemilik, semua individu dipercayai telah keluar dari bangunan sebelum kejadian

KOTA LAKSAMANA, 18 Julai – Sebuah bangunan rumah kedai di Jalan Laksamana 5, Taman Kota Laksamana runtuh, kira-kira pukul 4.45 petang tadi sehingga mengakibatkan dua kenderaan yang diparkir berhampiran, rosak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bangunan rumah kedai di Jalan Laksamana 5, Taman Kota Laksamana runtuh, mengakibatkan dua kenderaan yang diparkir rosak.
  • Unit BBP Melaka Tengah tiba pada pukul 5.06 petang bersama sebuah jentera dan dua kenderaan utiliti untuk tindakan kecemasan.
  • Pemeriksaan awal mendapati struktur runtuh dari bahagian hadapan dan turut menjejaskan bahagian belakang premis akibat pergerakan struktur.
  • Operasi SAR hanya dijalankan jika terdapat pengesahan mangsa terperangkap, jika tiada operasi ditamatkan dan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Tinggi II K. Karuppannan memaklumkan, sepasukan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera serta dua kenderaan utiliti tiba di lokasi pada pukul 5.06 petang selepas menerima panggilan kecemasan.

“Pemeriksaan awal mendapati struktur bangunan runtuh dari bahagian hadapan sebelum turut menjejaskan bahagian belakang premis, susulan berlakunya pergerakan struktur bangunan.

“Berdasarkan maklumat awal daripada pemilik, semua individu dipercayai telah keluar dari bangunan itu sebelum kejadian, namun pihak kami masih menunggu pengesahan pekerja yang berada di lokasi ketika kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hanya dijalankan sekiranya terdapat pengesahan ada mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan,”katanya.

Beliau turut memaklumkan, sekiranya disahkan tiada mangsa dalam bangunan, operasi bomba akan ditamatkan serta akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.