
SOOK, 19 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperluas usaha memperkasakan masyarakat pedalaman dengan kemahiran keselamatan dalam talian bagi membendung ancaman siber, termasuk penipuan digital.
- Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat dirasmikan oleh Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Ahli Parlimen Pensiangan.
- Program mendapat kerjasama agensi termasuk PDRM, BNM, KPDN dan JAPEN untuk memastikan ruang digital selamat.
- Peserta didedahkan pencegahan penipuan kewangan, perlindungan wanita serta kanak-kanak daripada jenayah seksual siber dan amalan e-dagang selamat.
- MCMC melantik "Wira Internet Selamat" dan Arthur meninjau Pusat NADI bagi pembangunan kemahiran digital serta peluang ekonomi setempat.
Menurut MCMC dalam kenyataan hari ini, usaha itu dilaksanakan menerusi penganjuran Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat peringkat daerah Sook, yang terletak kira-kira 148 kilometer dari Kota Kinabalu.
“Pendedahan berterusan amat penting bagi meningkatkan literasi digital serta memperkukuh keupayaan komuniti luar bandar mengenal pasti risiko ancaman siber dengan lebih yakin dan bertanggungjawab,” katanya.
Karnival berkenaan dirasmikan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.
Program strategik itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) bagi memastikan ruang digital kekal selamat.
Sepanjang karnival, peserta didedahkan dengan pelbagai aspek keselamatan Internet yang kritikal, antaranya pencegahan penipuan kewangan, perlindungan wanita dan kanak-kanak daripada jenayah seksual siber serta amalan e-dagang yang selamat.
Sebagai usaha memperkukuh kesedaran di peringkat akar umbi, MCMC turut melantik beberapa individu dalam kalangan komuniti setempat sebagai “Wira Internet Selamat” bagi membantu menyebarkan mesej penggunaan Internet secara berhemah.
Dalam lawatan sama, Arthur turut meninjau Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pekan Sook bagi melihat pelaksanaan inisiatif pembangunan kemahiran digital serta peluang peningkatan ekonomi yang disediakan kepada komuniti setempat.