Lelaki maut selepas kereta dihempap pokok tumbang di Jalan Tun Razak

Dua kereta dihempap pokok di Jalan Tun Razak / Foto PDRM

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang di hadapan Dua Residency, berhampiran Kedutaan Singapura di Jalan Tun Razak, pada Sabtu malam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa berusia 43 tahun mengalami kecederaan tangan dan pendarahan dalaman di dada; disahkan meninggal dunia di HKL pada pukul 4 pagi.
  • Polis menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 10.20 malam.
  • Sebuah lagi kenderaan dinaiki tujuh individu berumur dua bulan hingga 57 tahun turut terlibat.
  • Semua penumpang menerima rawatan di HKL; pemeriksaan fizikal mendapati tiada kecederaan luaran dan kenderaan ditunda.

Mangsa yang berusia 43 tahun, mengalami kecederaan pada kedua-dua belah tangan serta pendarahan dalaman di bahagian dada sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pukul 4 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sazalee Adam berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.20 malam.

Beliau berkata, sebuah lagi kenderaan yang dinaiki tujuh individu berusia antara dua bulan hingga 57 tahun turut dihempap pokok dalam kejadian sama.

“Kesemua mereka sedang menerima rawatan di HKL dan pemeriksaan fizikal mendapati mereka tidak mengalami kecederaan luaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kerja pembersihan dan pemotongan pokok oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selesai kira-kira pukul 12 tengah malam, manakala kedua-dua kenderaan yang terlibat turut ditunda bagi melancarkan semula aliran trafik di jalan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.