fb fb fb fb fb

Laut China Selatan: Filipina-Vietnam tingkat kerjasama

Beting Thomas Kedua, salah sebuah wilayah maritim yang menjadi pertikaian di antara Filipina dan China/ Foto REUTERS

MANILA, 31 Ogos-Vietnam dan Filipina bersetuju untuk memperkasa kerjasama dalam hubungan ketenteraan dan pertahanan serta kolaborasi berhubung keselamatan maritim di Laut China Selatan.

Langkah berkenaan dilihat penting susulan pertikaian panjang kedua-dua negara dengan Beijing berhubung tindakan Negara Tembok Besar di laut berkenaan.

Menteri Pertahanan Vietnam, Phan Van Giang berada di Manila untuk perbincangan dengan rakan sejawatnya, Gilberto Teodoro dalam lawatan pertamanya ke Filipina selepas menjawat jawatan ketua pertahanan dan kunjungan hormat pada Jumaat ke atas Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr.

"Menteri kedua-dua negara menyatakan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi untuk memperdalam kerjasama pertahanan dan ketenteraan melalui interaksi dan penglibatan berterusan di semua peringkat,” kata jabatan pertahanan Filipina dalam satu kenyataan.

Kedua-dua negara menyasarkan untuk menandatangani perjanjian kerjasama pertahanan sebelum akhir tahun ini, kata Teodoro selepas dia dan Giang menandatangani "surat niat" untuk meningkatkan penglibatan dalam isu bencana dan perubatan ketenteraan.

Mereka juga bersetuju untuk menyelesaikan perselisihan pendapat secara aman dan dalam rangka kerja undang-undang antarabangsa.

“Kedua-dua pihak berkongsi kepentingan untuk mengekalkan keamanan, kestabilan, keselamatan dan kebebasan pelayaran dan penerbangan di Laut Timur, juga dikenali sebagai Laut Filipina Barat atau Laut China Selatan,” kata Giang pada taklimat bersama.

Pertemuan kedua-dua pemimpin itu berlaku ketika ketegangan memuncak di Laut China Selatan dan kebimbangan antarabangsa mengenai kemungkinan berlakunya peningkatan konflik diantara China dan Amerika Syarikat yang telah berlarutan selama setahun.

“Walaupun kami menghadapi ancaman, kami akan bekerjasama dalam menghadapi ancaman ini dengan semangat perpaduan ASEAN,” kata Teodoro.

Filipina dan barat kecewa dengan perlakuan pengawal pantai China yang ditempatkan di seluruh Laut China Selatan.

Manila menuduh pencerobohan dan gerakan berbahaya dalam menyekat kapalnya oleh China.

Sebelum ini, China, menuntut kedaulatan ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan telah menuduh Filipina melakukan provokasi dan berulang kali menceroboh kawasan yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.-REUTERS

BERITA BERKAITAN :

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD