fb fb fb fb fb

Israel kecam mesyuarat WHO berhubung isu kecemasan kesihatan di Gaza

Penduduk Palestin mengosongkan hospital Kamal Adwan berikutan serangan Israel, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas, di Beit Lahia di utara Semenanjung Gaza, 21 Mei 2024/ REUTERS

GENEVA, 30 Mei- Lebih 30 negara mengutuk serangan Israel ke atas hospital di Gaza dan menuntut lebih penelitian terhadap peranannya dalam krisis kesihatan wilayah itu pada mesyuarat Pertubuhan Kesihatan Sedunia semalam.

Israel turut disalahkan atas risiko kebuluran yang semakin meningkat di Gaza.

WHO telah merekodkan ratusan serangan ke atas kemudahan kesihatan di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Gaza, sejak perang Israel-Hamas bermula 7 Oktober lalu.

Dalam fasa terbaharu konflik bulan ini, Israel melancarkan operasi ketenteraan terhadap Rafah di selatan Gaza, menyekat pemindahan pesakit, menyebabkan terputus bekalan perubatan dan mengancam hospital terakhir yang berfungsi.

Sekumpulan negara menyokong cadangan pada perhimpunan tahunan WHO di Geneva yang akan memberi mandat kepada agensi kesihatan PBB untuk meningkatkan dokumentasi "krisis kemanusiaan bencana" di Gaza dan melaporkan "kebuluran" di tengah-tengah amaran PBB tentang kebuluran dan penyakit selepas hampir lapan bulan konflik berlaku.

Usul itu disokong lebih 30 negara, kebanyakannya dari Afrika dan rantau Teluk, termasuk Rusia, Turki dan China menyatakan sokongan penuh. Undian telah dibuat pada Rabu, tetapi perbahasan lanjut berlangsung hari ini.

"Sistem penjagaan kesihatan Gaza musnah. Israel telah menyasarkan hospital di Gaza, memusnahkan kemudahan rawatan sepenuhnya. Ini juga bermakna perang terhadap hak asasi kesihatan,” kata Menteri Kesihatan Turki, Fahrettin Koca.

Dia juga menyifatkan tindakan Israel terhadap hospital adalah jenayah perang.

Duta Palestin, Ibrahim Khraishi menggesa negara-negara menyokong usul itu.

"Kami tidak boleh membenarkan Israel memusnahkan segala-galanya, memusnahkan kemudahan penjagaan kesihatan dan membenarkan ini berlaku," katanya.

Duta Israel, Meirav Eilon Shahar menyalahkan Hamas kerana "sengaja meletakkan keselamatan pesakit dalam risiko" dengan menggunakan kemudahan kesihatan untuk tujuan ketenteraan.

Ia mengemukakan pindaan untuk memasukkan rujukan kepada 250 tebusan yang dirampas semasa serangan Hamas 7 Oktober ke atas Israel, yang membunuh 1,200 orang, dan mengutuk penggunaan hospital oleh kumpulan bersenjata. Pindaan itu diluluskan pada petang Rabu.

Israel menafikan tanggungjawab atas kelewatan mendapatkan bantuan ke Gaza dan berkata PBB dan pihak lain bertanggungjawab untuk pengedarannya sebaik sahaja masuk.

Ireland adalah salah satu daripada negara yang menggesa pembebasan tebusan dalam ucapan di mana ia turut meminta Israel menghentikan operasinya di Rafah.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI