GENEVA, 20 Januari- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan mereka mahukan akses penuh dan sistematik ke seluruh wilayah Gaza bagi menghantar bantuan semasa gencatan senjata Israel-Hamas ketika ini.
Kebanyakan infrastruktur kesihatan di Gaza telah musnah akibat perang panjang antara Israel dan Hamas sebelum gencatan senjata yang dilaksanakan pada Ahad lalu.
Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menyambut baik gencatan senjata tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu sinar harapan bagi berjuta-juta penduduk Gaza yang menderita akibat konflik.
Beliau menambah usaha untuk memulihkan sistem kesihatan Gaza yang musnah akan menghadapi cabaran besar berikutan skala kemusnahan dan kekangan operasi di lapangan.
"WHO bersedia untuk meningkatkan respons bagi memenuhi keperluan kritikal Gaza, namun ia bergantung kepada penghapusan halangan keselamatan yang menghalang operasi bantuan.
"Akses sistematik kepada penduduk Gaza perlu diberikan bagi membolehkan bantuan dihantar melalui semua sempadan dan laluan yang ada," tegasnya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Israel mengawal sepenuhnya jumlah dan jenis bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza.
WHO menjangkakan kos pemulihan sistem kesihatan Gaza akan mencecah berbilion dolar dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Anggaran awal menunjukkan lebih $AS10 bilion diperlukan untuk membina semula hospital dan pusat kesihatan yang musnah.
Menurut data oleh Kementerian Kesihatan di Gaza, lebih 46,600 penduduk Gaza terbunuh dan lebih 110,000 cedera akibat serangan bertalu-talu Israel.
Suku daripada mereka yang cedera memerlukan rawatan dan rehabilitasi berterusan, manakala lebih 12,000 orang memerlukan pemindahan segera ke tempat lain untuk rawatan lanjut.
WHO turut menekankan kebimbangan mereka terhadap gangguan ketenteraman awam yang diperburuk oleh tindakan geng bersenjata yang menyukarkan penghantaran bantuan ke Gaza, sekali gus menambah beban penderitaan penduduk yang sudah lama terjejas akibat serangan Israel. -AFP
BERITA BERKAITAN