fb fb fb fb fb

Gaza: Hamas sedia bincang dengan pentadbiran Trump

Penduduk Palestin berjalan melewati runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan Israel, di tengah-tengah gencatan senjata antara Israel dan Hamas, di Rafah / Foto REUTERS

GAZA,5 Februari-Pergerakan Hamas Palestin bersedia untuk menjalin hubungan dan mengadakan rundingan dengan pentadbiran Presiden AS Donald Trump, lapor agensi berita Rusia, RIA, yang memetik kenyataan seorang pegawai kanan Hamas pada Rabu.

"Kami bersedia untuk berhubung dan berbincang dengan pentadbiran Trump," kata Ketua Biro Politik Hamas, Mousa Abu Marzouk, seperti yang dipetik oleh RIA.

"Pada masa lalu, kami tidak menolak hubungan dengan pentadbiran (bekas Presiden AS Joe) Biden, Trump, atau mana-mana pentadbiran AS yang lain, dan kami terbuka untuk berbincang dengan semua pihak antarabangsa", katanya.

Trump pada Selasa berikrar bahawa AS akan mengambil alih Gaza yang musnah akibat perang setelah rakyat Palestin dipindahkan ke tempat lain dan membangunkannya secara ekonomi, satu langkah yang akan mengubah dasar AS selama beberapa dekad terhadap konflik Israel-Palestin.

Marzouk memberitahu RIA bahawa rundingan dengan AS telah menjadi satu keperluan bagi Hamas, memandangkan Washington adalah pemain utama di Asia Barat.

"Itulah sebabnya kami mengalu-alukan perbincangan dengan Amerika dan tidak mempunyai sebarang halangan terhadap isu ini," tambahnya.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD