
TEHRAN, 24 September – Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilapor menggantung semua penerbangan yang dikendalikan syarikat penerbangan Iran, susulan pelaksanaan sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap sektor penerbangan negara itu.
- AS mengenakan sekatan terhadap sektor penerbangan Iran dengan tempoh pematuhan sehingga semalam.
- Langkah itu termasuk menghentikan perkhidmatan seperti pengisian bahan api dan risiko disekat daripada sistem kewangan berasaskan dolar AS.
- Beberapa syarikat penerbangan Iran terpaksa membatalkan penerbangan antarabangsa selepas negara jiran mula melaksanakan sekatan; Turkmenistan tutup ruang udara.
- Beberapa syarikat kecil masih terbang ke luar negara, khususnya ke China dan Armenia.
Agensi berita ISNA melaporkan, semua penerbangan syarikat Iran ke UAE dibatalkan mulai hari ini.
Tiada ulasan segera dikeluarkan pihak berkuasa UAE berhubung perkara itu.
Antara penerbangan yang terjejas ialah Iran Airtour dari Tehran ke Dubai yang dibatalkan sebelum waktu berlepas.
Dubai merupakan antara destinasi utama syarikat penerbangan Iran, selain berfungsi sebagai hab transit penting ke Eropah, Asia dan Afrika.
Pada awal bulan ini, AS mengenakan sekatan terhadap sektor penerbangan Iran dan memberi tempoh sehingga semalam kepada syarikat berkaitan untuk mematuhinya.
Langkah itu termasuk menghentikan perkhidmatan seperti pengisian bahan api kepada pesawat Iran, dengan syarikat yang gagal berbuat demikian berdepan risiko disekat daripada sistem kewangan berasaskan dolar AS.
Sejak Rabu, beberapa syarikat penerbangan utama Iran terpaksa membatalkan penerbangan antarabangsa selepas negara jiran mula melaksanakan sekatan berkenaan.
Turkmenistan turut mengenakan sekatan mulai hari ini apabila tidak membenarkan syarikat penerbangan Iran menggunakan ruang udaranya.
Jurucakap Pertubuhan Penerbangan Awam Iran, Majid Akhavan berkata, keadaan itu menyebabkan penerbangan Tehran-Dushanbe gagal sampai ke destinasi dan terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Imam Khomeini di Tehran.
Bagaimanapun, beberapa syarikat penerbangan kecil Iran masih meneruskan penerbangan antarabangsa, khususnya ke China dan Armenia.
Iran mempunyai hampir 30 syarikat penerbangan, dengan Iran Air dan Mahan antara pengendali utama bagi laluan antarabangsa. – AFP