SARAJEVO, 6 Mac – Pemimpin Serb Bosnia, Milorad Dodik, menandatangani undang-undang yang melarang polis dan badan kehakiman kerajaan pusat Bosnia daripada menjalankan kuasa mereka di wilayah Serb, Republika Srpska, sekali gus meningkatkan ketegangan politik di negara Balkan itu.
Dodik menyatakan bahawa langkah berkenaan bertujuan mengembalikan bidang kuasa perlembagaan kepada kaum Serb tersebut.
Undang-undang baharu tersebut bersama-sama beberapa undang-undang lain yang ditandatangani Dodik, memberi cabaran besar kepada institusi pusat Bosnia yang sedia rapuh sejak Perjanjian Dayton 1995 yang menamatkan perang saudara selama tiga tahun dan mengorbankan hampir 100,000 nyawa.
Selepas perjanjian itu, Bosnia dibahagikan kepada dua entiti autonomi, iaitu Republika Srpska yang dikuasai etnik Serb dan Persekutuan Bosnia-Herzegovina yang terdiri daripada kaum Muslim Bosnia dan Croat.
Tindakan itu dibuat hanya seminggu selepas Dodik, 65, dijatuhi hukuman penjara satu tahun dan diharamkan daripada memegang jawatan selama enam tahun kerana enggan mematuhi keputusan yang dibuat oleh Christian Schmidt, utusan antarabangsa yang bertanggungjawab mengawasi Perjanjian Dayton.
Dodik menolak kesahihan Schmidt, dan Parlimen Republika Srpska bertindak balas dengan meluluskan undang-undang berkenaan.
Beliau menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai "perbicaraan politik" yang bertujuan menyingkirkannya dari pentas politik.
Undang-undang baharu berkenaan menyasarkan Pejabat Pendakwa Raya Negara yang mendakwa Dodik serta Mahkamah Negara yang menjatuhkan hukuman terhadapnya.
Selain itu, ia turut menyekat Agensi Penyiasatan dan Perlindungan (SIPA), satu-satunya pasukan polis persekutuan yang mempunyai mandat untuk bertindak bagi pihak badan kehakiman pusat.
“Kami hanya mahu mengembalikan hak Republika Srpska seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” tegas Dodik.
Sementara itu, Menteri Luar Bosnia, Elmedin Konakovic, mengecam undang-undang tersebut dan mengumumkan bahawa kerajaan pusat akan membawa perkara ini ke Mahkamah Perlembagaan.
"Kita dapat melihat dengan jelas bahawa Milorad Dodik dan sekutunya telah melakukan rampasan kuasa mengikut buku teks," kata Konakovic kepada penyiar FTV.
Perdana Menteri Persekutuan Bosnia-Herzegovina, Nermin Niksic, pula mengingatkan bahawa Dodik sedang membawa negara ke arah bahaya yang sukar dipulihkan.
"Sudah tiba masanya untuk Bosnia dan Herzegovina menunjukkan kekuatan institusinya, dan masyarakat antarabangsa perlu berdiri teguh menyokong mereka yang menentang ketakutan, perpecahan dan konflik," kata Niksic dalam satu kenyataan di Facebook.
Dodik sebelum ini turut memberi amaran bahawa sebarang ancaman dari kerajaan persekutuan akan dibalas dengan tindakan sama.
“Kita hidup dalam sebuah negara gagal yang dipanggil Bosnia dan Herzegovina. Negara ini tidak pernah menemui kestabilan dalaman untuk terus bertahan,” tambahnya.
Undang-undang baharu itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun bagi kakitangan Republika Srpska yang enggan meninggalkan institusi pusat.
Dodik juga menggesa 300 pegawai Serb dalam SIPA untuk menyertai Kementerian Dalam Negeri Republika Srpska.
Beliau mengesahkan undang-undang ini akan berkuat kuasa Jumaat ini selepas diterbitkan dalam jurnal rasmi entiti tersebut.
“Saya mengajak semua rakyat Bosnia dan Herzegovina untuk kekal tenang dan harmoni,” katanya.-AFP.