fb fb fb fb fb

50 orang terkorban dalam kejadian banjir kilat di barat Afghanistan

Rumah penduduk yang rosak selepas banjir di daerah Burka, Baghlan/AFP

KABUL, 18 Mei- Sekurang-kurangnya 50 orang terkorban dalam kejadian banjir kilat di barat Afghanistan.

Jurucakap Polis Ghor Abdul Rahman Badri menerusi kenyataan berkata banjir tersebut juga memusnah dan merosakkan ribuan rumah serta menjejaskan perniagaan.

"Seramai 50 penduduk wilayah Ghor terbunuh akibat banjir pada hari Jumaat dan beberapa orang lagi hilang," kata Badri.

"Banjir buruk ini juga telah membunuh beribu-ribu ekor lembu, memusnahkan ratusan hektar tanah pertanian, beratus-ratus jambatan dan pembetung dan memusnahkan ribuan pokok.

Ketua Jabatan Pengurusan Bencana Daerah, Obaidullah Muradian menyifatkan inisiden banjir tersebut sebagai situasi kecemasan.

"Banjir melanda beberapa daerah di wilayah itu, termasuk ibu kota Chaghcharan, mengakibatkan jalan raya dipenuhi dengan lumpur", katanya.

Tambahnya, penduduk terjejas memerlukan tempat tinggal, makanan dan air.

"Keadaan ini benar-benar membimbangkan", katanya.

Sementara itu, Program Makanan Sedunia (WFP) PBB berkata, lebih 300 orang maut akibat bencana banjir pada awal bulan ini, selain menyebabkan rumah dan jalan raya bersalut lumpur tebal.

Pakar pengurusan sumber air, Mohammad Assem Mayar melaporkan taburan hujan melebihi paras pada musim bunga ini juga menyebabkan risiko banjir kepada Afghanistan.

Menurut pihak berkuasa, kira-kira 100 orang terkorban di negara itu dalam tempoh pertengahan April hingga awal Mei.

Negara yang dilanda konflik selama empat dekad itu juga merupakan antara negara termiskin di dunia.

WFP memberi amaran bahawa banjir baru-baru ini menjadikan situasi kemanusiaan bertambah buruk.- AFP

ROSLINA BINTI DIN