
PUTRAJAYA, 22 Mei – Dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), iaitu Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC), diperkenalkan bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak serta meningkatkan keselamatan pengguna di platform digital.
- Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) menetapkan ciri keselamatan: had pendaftaran bawah 16 tahun, perlindungan mengikut umur dan sekatan fungsi berisiko.
- Kod Pengurangan Risiko (RMC) menghendaki penilaian risiko, tadbir urus kandungan lebih kukuh, mekanisme pelaporan responsif, pengesahan pengiklan dan pelabelan kandungan dimanipulasi.
- MCMC hasilkan kod melalui libat urus industri dan awam, memberi jangkaan tanggungjawab jelas kepada pemberi perkhidmatan untuk lindungi kanak-kanak.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, kedua-dua kod berkenaan akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun ini.
Menurut MCMC, CPC dan RMC dibangunkan menerusi sesi libat urus bersama industri, organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan, termasuk rundingan awam yang berlangsung dari 12 Februari hingga 31 Mac lalu.
Tempoh pelaksanaan munasabah akan diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan dilakukan secara teratur.
“Kod ini menetapkan jangkaan yang jelas kepada pemberi perkhidmatan untuk memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan pengguna rentan.
“Pendekatan pelaksanaan di bawah kod ini adalah berasaskan hasil, yang memberi fleksibiliti kepada pemberi perkhidmatan untuk melaksanakan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan keselamatan, privasi dan perundangan,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan, pelaksanaan kod tersebut merupakan langkah penting dalam memperkukuh pendekatan keselamatan dalam talian di negara ini.
Di bawah CPC, penyedia platform diwajibkan menerapkan ciri keselamatan termasuk mengehadkan pendaftaran akaun bagi pengguna bawah 16 tahun, selain memperkenalkan perlindungan mengikut umur dan mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko kandungan eksploitasi dan memudaratkan.
Sementara itu, RMC pula menghendaki penyedia perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan menerusi penilaian risiko, tadbir urus kandungan yang lebih kukuh, mekanisme pelaporan dan respons berkesan serta pengesahan pengiklan dan pelabelan kandungan dimanipulasi.
Menurut MCMC, pelaksanaan obligasi utama di bawah ONSA itu adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan bagi memastikan pengalaman digital lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.