BEIRUT, 11 November - Sekurang-kurangnya 41 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Zionis Israel di seluruh Lubnan, termasuk 23 orang yang maut dalam serangan di utara Beirut, menurut kementerian kesihatan Lubnan.
Pada September lalu, Israel telah meningkatkan serangan terhadap kumpulan Hizbullah, khususnya di selatan Lubnan dan kawasan sekitar Beirut.
Serangan di kampung Almat di daerah Jbeil membunuh 23 orang, termasuk tujuh kanak-kanak, yang mana dikelilingi wilayah Kristian.
Serangan berlaku tidak lama selepas seorang anggota Hizbullah melawat rumah tersebut, yang kemudian cedera dan meninggal dunia.
Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan beberapa mayat dari runtuhan.
Ahli Parlimen Hizbullah, Raed Berro, menafikan dakwaan bahawa Hizbullah menyimpan anggota atau senjata mereka di kawasan orang awam di situ.
Ali Haydar, seorang pengguna Facebook, berkongsi gambar rumah keluarganya yang telah musnah akibat serangan.
Katanya, ketika kejadian, seramai 35 ahli keluarganya berlindung di rumah itu dan kebanyakan mereka telah terkorban dalam serangan tersebut.
Selain itu, tiga penyelamat Hizbullah terbunuh dalam serangan Israel bersama 12 orang awam di Baalbek dan tiga lagi di Al-Qasr, wilayah Hermel.
Ketegangan semakin memuncak sejak Israel meningkatkan serangan pada 23 September lalu, dengan lebih 3,130 orang terkorban di Lubnan. -AFP