fb fb fb fb fb

16 rakyat Malaysia antara penumpang pesawat SIA SQ321

Foto REUTERS

SINGAPURA, 22 Mei- 16 rakyat Malaysia adalah antara 211 penumpang dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 dari London ke Singapura yang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok pada petang Selasa.

SIA dalam kemas kini terkini pada pukul 10.35 malam di Facebook, bagaimanapun tidak menyatakan keadaan mereka.

Terdapat juga 41 penumpang dari Singapura, United Kingdom (47), Australia (56), Kanada (dua), Jerman (satu), India (tiga), Indonesia (dua), Iceland (satu), Ireland (empat), Israel (satu), Myanmar (dua), New Zealand (23), Filipina (lima), Korea Selatan (satu), Sepanyol (dua), dan AS (empat) di dalam penerbangan itu.

Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn, sebelum ini berkata mangsa yang terkorban dalam kejadian itu adalah seorang lelaki British berusia 73 tahun.

SIA berkata penerbangan tersebut menghadapi gelora udara yang tiba-tiba dan ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter kira-kira 10 jam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, memaksa juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok.

Setakat pukul 7.50 malam, 18 individu telah dimasukkan ke hospital, 12 sedang dirawat di hospital manakala penumpang dan kru yang lain sedang diperiksa dan diberi rawatan, jika perlu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.

“SIA sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan dalam penyiasatan kejadian ini,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata ia kini bekerjasama dengan rakan sekerja dan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk menyediakan bantuan yang diperlukan dan pasukan SIA sedang dalam perjalanan ke Bangkok untuk memberikan sebarang pertolongan tambahan yang diperlukan.

Saudara-mara penumpang yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghubungi talian penting Singapore Airlines di +65 6542 3311 (Singapura), 1800-845-313 (Australia), dan 080-0066-8194 (United Kingdom).- BERNAMA

Artikel Berkaitan:
Pesawat Singapura alami gelora udara, warga emas maut

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM