Beijing, 5 Disember - Sekurang-kurangnya 13 orang dilaporkan hilang selepas tanah runtuh berlaku di tapak pembinaan projek rel utama di bandar Shenzhen, China selatan, menurut pihak berkuasa tempatan hari ini.
Menurut kenyataan daripada biro pengurusan kecemasan Daerah Bao'an, tanah di bawah tapak rel Shenzhen-Jiangmen runtuh secara tiba-tiba sekitar pukul 11 malam waktu tempatan (1500 GMT) pada malam Rabu.
Pihak berkuasa memaklumkan pencarian mangsa hilang masih diteruskan pagi Khamis, dan punca kejadian sedang disiasat.
Penduduk berhampiran telah dipindahkan bagi memastikan keselamatan mereka.
Menurut pegawai bandar, beberapa lebuh raya utama berhampiran tapak kejadian ditutup pagi ini bagi memudahkan usaha menyelamat.
Pembinaan bahagian rel yang menghubungkan Shenzhen ke Jiangmen di wilayah Guangdong, selatan China, bermula pada 2022.
Kemalangan industri kerap berlaku di China akibat peraturan keselamatan yang tidak jelas dan penguatkuasaan yang lemah.
Pada Ogos lalu, insiden lombong di wilayah Sichuan, barat daya China, meragut lapan nyawa.
Sementara itu, letupan gas di wilayah Hebei, utara China, membunuh tujuh orang dan mencederakan puluhan yang lain pada Mac.
Manakala pada Februari, 15 orang maut dalam kebakaran sebuah bangunan kediaman di Nanjing, China timur. - AFP