Zverev buru gelaran sulung di Roland Garros

Bintang tenis Jerman, Alexander Zverev / AFP

PARIS, 6 Jun – Bintang tenis Jerman, Alexander Zverev mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Grand Slam keempatnya selepas menundukkan cabaran sengit pemain muda Republik Czech, Jakub Mensik dalam aksi empat set di separuh akhir Terbuka Perancis pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zverev akan berdepan Flavio Cobolli pada Ahad bagi memburu gelaran utama sulungnya.
  • Jakub Mensik memberi tentangan hebat, tetapi pengalaman Zverev menutup peluang pemain muda itu.
  • Zverev yakin kecergasan dan servis lebih stabil; hanya keciciran dua set sepanjang kejohanan.

Kemenangan itu menyaksikan pemain pilihan kedua kejohanan berkenaan bakal membuat perhitungan dengan wakil Itali, Flavio Cobolli pada Ahad ini dalam misi memburu gelaran utama sulung yang dinanti-nantikan selama ini.

Mensik, yang memamerkan aksi memukau sepanjang dua minggu di Roland Garros, memberikan tentangan hebat pada set pertama sebelum mengheret perlawanan ke set keempat selepas memenangi set ketiga.

Namun pengalaman nyata memihak kepada Zverev untuk menutup peluang pemain muda itu.

“Sascha (Zverev) berada di kedudukan ketiga dunia atas sebab yang kukuh. Beliau adalah lawan yang sangat sukar di atas gelanggang dan tidak akan memberikan mata mudah kepada anda.

“Sangat sukar untuk mencari rentak permainan menentangnya, terutama apabila beliau bertahan dengan baik di garisan belakang.

“Anda akan berasa seolah-olah sedang memukul bola ke dinding,” kata Mensik, yang diletakkan sebagai pilihan ke-26 kejohanan.

Sementara itu, Zverev, 29, menegaskan beliau berada pada tahap kecergasan terbaik dan menolak tanggapan bahawa Cobolli mempunyai kelebihan fizikal di pentas akhir selepas tidak perlu memeras keringat susulan penarikan diri Matteo Arnaldi akibat jangkitan virus.

“Sama sekali tidak, kerana saya rasa fizikal saya berada dalam keadaan yang sangat baik. Saya tidak mengharungi perlawanan yang terlalu panjang dan memenatkan (sepanjang kejohanan).

“Sejujurnya, saya rasa seperti boleh turun bermain lagi sekarang,” katanya.

Bintang Jerman itu memamerkan prestasi luar biasa di kejohanan tanah liat ini apabila hanya mencicirkan dua set dalam laluannya menuju ke perlawanan akhir.

Beliau kini berharap dapat melupakan kekecewaan masa lalu terutamanya kekalahan kepada Dominic Thiem pada aksi akhir Terbuka AS 2020, di mana beliau mensia-siakan kelebihan selepas mendahului dua set.

“Siri kegagalan itu berlaku ketika saya bergelut dengan masalah pukulan servis. Saya tahu servis saya boleh merosot pada bila-bila masa sahaja.

Mujurlah, itu adalah perbezaan ketara yang saya rasakan sekarang (servis lebih stabil).

“Kejadian itu sudah menjadi sejarah. Saya tidak mahu terlalu memikirkannya menjelang aksi hari Ahad ini,” jelas Zverev. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.