Zon Tengah ungguli Temasya Sukan RTM ke-13

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Januari – Zon Tengah muncul sebagai kontinjen paling menyerlah pada Temasya Sukan RTM Ke-13 yang melabuhkan tirainya di Kompleks Sukan Angkasapuri Kota Media, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zon Tengah muncul juara keseluruhan dengan memenangi pingpong, badminton dan bola jaring.
  • Zon Sabah menonjol selepas menjuarai acara berprestij bola sepak.
  • Zon Sarawak dan Zon Timur kekal konsisten dan bersaing sengit sepanjang kejohanan.
  • Temasya Ke-13 memupuk semangat perpaduan serta mencungkil bakat dalam kalangan warga RTM.

Kontinjen Zon Tengah membuktikan dominasi apabila merangkul kejuaraan dalam tiga acara utama iaitu pingpong, badminton dan bola jaring, sekali gus mendahului carta keseluruhan kejohanan.

Edisi ke-13 temasya itu turut menyaksikan kebangkitan Zon Sabah yang mencuri tumpuan selepas menjuarai acara berprestij bola sepak, selain konsisten meraih kedudukan podium dalam beberapa acara padang.

Sementara itu, Zon Sarawak dan Zon Timur mempamerkan persaingan sengit dengan prestasi konsisten apabila kekal berada dalam kelompok terbaik sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung, mencerminkan peningkatan kualiti atlet di peringkat wilayah.

Bertemakan Kita Aktif, Temasya Sukan RTM Ke-13 bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat sukan dalam kalangan kira-kira 4,000 warga kerja Jabatan Penyiaran Malaysia, malah melambangkan semangat perpaduan dan kekeluargaan selepas lapan tahun penganjurannya tertangguh.