
NILAI, 11 Jun – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terharu dengan titah doa Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu melihat beliau beraksi pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
- Fokus Azizulhasni kini pada persiapan Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Asia 2026.
- Beliau serahkan segala perancangan kepada Allah dan enggan membuat janji atau meletakkan harapan terlalu tinggi.
- Kehadiran dan sokongan Sultan Pahang memberi suntikan semangat kepada komuniti berbasikal negara.
- Menang acara pecut elit, tewaskan Mohd Akmal 2-0; kemenangan tebus kekecewaan pingat perak keirin.
Bagaimanapun pemenang pingat perak acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu belum bersedia memberikan sebarang komitmen mengenai penyertaannya dalam temasya berkenaan.
Jaguh yang diberi jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu mengakui fokusnya kini tertumpu kepada persiapan menghadapi Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
“Saya serahkan kepada Allah kerana kita hanya mampu merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang. Buat masa ini saya tidak mahu membuat sebarang janji atau meletakkan harapan terlalu tinggi. Kita lihat dahulu perkembangan semasa sebelum membuat keputusan selanjutnya ” katanya pada Kejohanan Trek Kebangsaan dan Remaja Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional.
Pelumba berusia 38 tahun itu berkata, sokongan yang dizahirkan Sultan Pahang serta kesudian berangkat menyaksikan perlumbaan semalam memberi suntikan semangat kepada seluruh komuniti berbasikal negara.
“Kami semua benar-benar terharu dengan kesudian Tuanku berangkat menyaksikan perlumbaan ini. Sokongan, kata-kata semangat dan doa yang diberikan amat bermakna kepada kami. Bukan mudah untuk sukan berbasikal mendapat perhatian seperti ini dan saya berharap sukan ini akan terus berkembang maju,”jelasnya.
Datuk Azizulhasni turut berharap pencapaian berbasikal negara di peringkat dunia dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan lebih menyeluruh termasuk dari aspek pencarian bakat, sokongan struktur dan kesinambungan atlet pelapis.
Terdahulu, Azizulhasni yang mewakili Team Azizul menjuarai acara pecut lelaki elit selepas menewaskan pelumba Johor, Mohd Akmal Nazimi Jusena 2-0 pada aksi final.
Kemenangan itu sekali gus menebus kekecewaan beliau selepas meraih pingat perak dalam acara keirin, semalam.