
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Tiada aduan khusus atau bukti amalan anti persaingan membabitkan tawaran harga dan pakej perumahan dalam pasaran perumahan negara setakat ini.
- Indeks Harga Rumah NAPIC 2025 menunjukkan pertumbuhan harga sederhana dan berterusan sepanjang 2025.
- Kadar pertumbuhan menurun kepada 3.5 peratus pada suku pertama 2025 dan capai paras terendah suku keempat 2025.
- Data membuktikan pasaran perumahan secara umum berada pada tahap stabil.
- Kajian MyCC mendapati kenaikan harga simen dipengaruhi kos bahan mentah, tenaga, logistik dan faktor geografi kilang.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata dapatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) itu turut disokong data Indeks Harga Rumah Malaysia 2025 yang diterbitkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Menurutnya, data berkenaan menunjukkan harga rumah mencatat pertumbuhan sederhana dan berterusan sepanjang 2025, selepas mencapai kadar pertumbuhan tertinggi sebanyak 4.4 peratus pada suku keempat 2024.
“Menurut Indeks Harga Rumah Malaysia 2025 yang diterbitkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, trend harga rumah menunjukkan pertumbuhan sederhana yang berterusan sepanjang 2025.
“Kadar pertumbuhan itu menurun secara beransur-ansur kepada 3.5 peratus pada suku pertama 2025 sebelum mencapai paras terendah pada suku keempat 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, data itu membuktikan harga pasaran perumahan secara umumnya berada pada tahap stabil.
Mengenai harga simen, beliau berkata kajian MyCC mendapati peningkatan harga bahan binaan itu dipengaruhi beberapa faktor berkaitan kos pengeluaran dan operasi.
Antaranya ialah kenaikan kos bahan mentah seperti arang batu, peningkatan kos tenaga dan bahan api serta kos logistik dan pengangkutan.
Faktor geografi dan lokasi kilang pengeluaran turut mempengaruhi kos penghantaran, sekali gus memberi kesan terhadap harga simen di pasaran.