Kes ketagihan media sosial, YouTube capai penyelesaian luar mahkamah

Foto hiasan

SAN FRANCISCO, 24 Jun – YouTube mencapai satu perjanjian penyelesaian sulit dengan seorang remaja Amerika Syarikat (AS) berusia 15 tahun susulan saman mendakwa platform milik Google itu serta rangkaian media sosial lain telah menjejaskan kesihatan mentalnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • YouTube mencapai penyelesaian luar mahkamah sulit; dokumen tidak mengandungi pengakuan liabiliti.
  • Google menegaskan YouTube dibangunkan secara bertanggungjawab, memberi tumpuan produk sesuai usia dan sistem kawalan ibu bapa.
  • Peguam plaintif mendakwa eksekutif media sosial merancang ciri seperti autoplay dan skrol tanpa had untuk mewujudkan ketagihan pada kanak-kanak.
  • Meta, TikTok dan Snapchat kekal defendan; perbicaraan dijadual 27 Julai; kes dipilih sebagai penanda aras untuk ribuan saman.

Langkah penyelesaian luar mahkamah ini dicapai tiga bulan selepas satu keputusan mahkamah yang tidak pernah berlaku sebelum ini diputuskan dalam kes serupa.

Jurucakap Google, Jose Castaneda mengesahkan perjanjian tersebut dan menegaskan bahawa syarikat itu telah membangunkan YouTube secara bertanggungjawab selama lebih sedekad.

“Fokus utama syarikat tetap terarah kepada penyediaan produk yang bersesuaian dengan usia serta sistem kawalan ibu bapa,” katanya.

Bagaimanapun, dokumen perjanjian tersebut tidak mengandungi sebarang pengakuan liabiliti atau kesalahan daripada pihak Google.

Dalam satu kenyataan bersama, peguam plaintif, John Morgan dan Emily Jeffcott menyatakan bahawa tindakan YouTube untuk menyelesaikan kes tersebut sebelum berhadapan dengan panel juri menunjukkan kegusaran syarikat itu terhadap risiko perbicaraan terbuka.

Mereka turut menuduh para eksekutif media sosial telah merangka strategi selama bertahun-tahun untuk mengumpan kanak-kanak pada usia awal menerusi ciri-ciri aplikasi tertentu.

“Mereka menggunakan ciri-ciri seperti fungsi main automatik (autoplay) dan skrol tanpa had yang sengaja direka untuk mewujudkan ketagihan,” jelas pihak peguam.

Meskipun YouTube telah menyelesaikan kes mereka, pemilik Instagram iaitu Meta, bersama TikTok dan Snapchat, kekal dinamakan sebagai defendan dalam kes ini.

Perbicaraan yang merupakan kes kedua seumpamanya di AS itu dijadualkan bermula pada 27 Julai depan di Los Angeles.

Plaintif yang hanya dikenali dengan nama R.K.C., merupakan seorang remaja dari Florida.

Beliau mendakwa penggunaan media sosial secara kompulsif telah menyumbang kepada masalah keresahan melampau (anxiety), kemurungan dan fikiran untuk membunuh diri yang memerlukan rawatan berterusan sehingga kini.

Kes beliau dipilih sebagai kes penanda aras untuk membantu menyelesaikan ribuan saman serupa di seluruh negara.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.