Penduduk Hanoi protes, bantah roboh rumah demi projek pembangunan mega

Foto AFP

HANOI, 24 Jun – Penduduk bandar raya Hanoi kini mula menzahirkan tentangan terbuka terhadap pelan pembangunan semula berskala besar yang dijangka bakal mengusir ratusan ribu penduduk dari kediaman mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi perobohan ribuan rumah untuk jambatan dan infrastruktur, termasuk projek 11,000 hektar di tebing Sungai Merah, memaksa perpindahan besar.
  • Penduduk mengadakan bantahan kecil secara berhemah: upacara keagamaan, kain rentang berkawal dan baju-T meminta penempatan dikekalkan.
  • Warga ragu pampasan dan janji 85,000 unit baharu; kebimbangan pampasan rendah, tempoh pembinaan dan keuntungan besar pemaju swasta.

Bantahan tersebut dilakukan secara berhati-hati melalui upacara keagamaan secara senyap, kain rentang dengan pilihan bahasa yang dikawal serta pemakaian baju-T yang merayu agar penempatan mereka dikekalkan.

Sejak bulan lalu, pihak berkuasa rancak menjalankan operasi perobohan ribuan rumah bagi memberi laluan kepada pembinaan jambatan dan projek infrastruktur lain.

Ia merupakan sebahagian daripada pelan induk 100 tahun yang telah diluluskan baru-baru ini.

Salah satu kawasan seluas 11,000 hektar di sepanjang Sungai Merah dijadualkan bertukar menjadi kawasan kompleks perumahan mewah dan taman rekreasi.

Projek itu bakal menyaksikan perpindahan sekitar 250,000 penduduk asal.

Protes berskala besar adalah sesuatu yang sangat jarang berlaku di Vietnam memandangkan kerajaan komunis negara itu tidak bertoleransi dengan sebarang bentuk penentangan.

Bagaimanapun, rungutan secara peribadi kini bertukar menjadi penentangan terbuka secara kecil-kecilan demi menyelamatkan harta benda mereka.

“Kami hidup dalam ketakutan kerana tidak tahu bila kami akan diusir dari rumah sendiri. Kami mahu suara kami didengari,” kata seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Hoa.

Pakar dari University of Oregon, Tuong Vu mengesahkan bahawa penduduk Hanoi kini mula menyatakan ketidaksetujuan dan kemarahan mereka akibat kehilangan tanah dan tempat tinggal.

“Meskipun pihak berkuasa berjanji akan memberi pampasan dan membina 85,000 unit kediaman baharu di pinggir bandar, penduduk tetap sangsi,” katanya.

Dalam pada itu, pihak bandar raya menegaskan prinsip pembangunan adalah untuk memastikan keadaan hidup baharu adalah setaraf atau lebih baik daripada yang lama.

Namun, ramai penduduk yang telah diusir dalam fasa pembangunan sebelum ini mengadu bahawa pampasan yang dibayar adalah jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

Penduduk juga mempersoalkan tempoh masa pembinaan rumah baharu dan bagaimana mereka mahu membiayai sewa rumah sementara dalam tempoh menunggu.

Kemarahan penduduk di kawasan Sungai Merah ini juga berpunca daripada tanggapan bahawa syarikat swasta akan mengaut keuntungan besar hasil daripada pembinaan pangsapuri mewah yang menggantikan rumah asal mereka.

Sebuah konsortium yang terdiri daripada tiga pemaju sedang mengendalikan projek mega bernilai AS$30 bilion (RM133 bilion) berkenaan di bawah perkongsian awam-swasta.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.