Suntikan semangat menuju Masters Malaysia

Tang Jie-Ee Wei meraih gelaran Atlet Terbaik Anugerah SAM 2025 /Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei menyifatkan pengiktirafan sebagai Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2025 sebagai pembakar semangat menjelang saingan Masters Malaysia 2026 minggu depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Syukur menerima anugerah; berterima kasih kepada semua penyokong; pengorbanan ini untuk Malaysia.
  • Pengiktirafan susulan kejayaan sejarah juara Kejohanan Badminton Dunia di Paris memberi semangat dan kebanggaan negara.
  • Penghargaan menjadi motivasi tambahan untuk terus berlatih keras dan menghadiahkan lebih banyak kejayaan kepada negara.

Pasangan ranking keempat dunia itu menerima anugerah berprestij berkenaan susulan kejayaan mencipta sejarah apabila muncul beregu campuran pertama Malaysia menjuarai Kejohanan Badminton Dunia di Paris tahun lalu.

“Kami bersyukur menerima anugerah ini. Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan kepada kami selama ini. Apa yang kami lakukan ini adalah untuk Malaysia,” kata Toh Ee Wei pada majlis Anugerah SAM 2025 di ibu negara.

Ee Wei turut menyifatkan penghargaan diterima sebagai motivasi tambahan untuk mereka terus bekerja keras dan menghadiahkan lebih banyak kejayaan buat negara.

Pada aksi final di Adidas Arena, Tang Jie-Ee Wei menewaskan pasangan China, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin 21-15, 21-14 sekali gus menamatkan penantian negara untuk gelaran dunia dalam acara beregu campuran.

Dalam pencalonan anugerah itu, Tang Jie-Ee Wei mengetepikan cabaran empat calon lain iaitu atlet wushu negara Tan Cheong Min, atlet boling padang Emma Firyana Saroji, pemain tenpin boling Muhd Rafiq Ismail dan pesilat negara Mohd Abdul Latif Maxzakir.