Sukan Asia: Jepun akui tidak mampu tampung pertambahan peserta

Foto Fail

TOKYO, 28 Ogos – Penganjur Sukan Asia 2026 Jepun telah mengarahkan kontinjen tambahan yang mendaftar di saat akhir untuk mencari penginapan sendiri berikutan masalah kekurangan bajet dan ruang bagi menampung lonjakan jumlah peserta.

RINGKASAN BERITA AI
  • OCA mengemas kini jumlah peserta kepada 17,000, meningkat daripada anggaran asal 15,000.
  • Tiada perkampungan sukan; penganjur bergantung pada kapal persiaran, kabin kontena kayu dan tempahan hotel.
  • Presiden penganjur, Hideaki Omura, kata tiada bajet atau tenaga kerja tambahan; perjanjian bandar hos hadkan delegasi kepada 15,000.

Temasya yang dijadualkan berlangsung di Nagoya serta sekitar wilayah Aichi dari 19 September hingga 4 Oktober ini pada asalnya dijangka menerima kira-kira 15,000 atlet dan pegawai.

Bagaimanapun, Majlis Olimpik Asia (OCA) minggu lalu mengemas kini angka berkenaan kepada 17,000 orang, merangkumi 11,000 atlet dan 6,000 pegawai.

Masalah utama berpunca daripada ketiadaan perkampungan sukan khas kerana pihak penganjur sebelum ini hanya menyewa kapal persiaran, menggunakan kabin kontena kayu sementara serta tempahan hotel untuk penginapan peserta.

Situasi bertambah rumit selepas OCA menambah dua lagi acara sukan baharu iaitu teqball dan padel pada Mac lalu.

Presiden Jawatankuasa Penganjur, Hideaki Omura berkata pihak penganjur tidak mempunyai tenaga kerja mahupun bajet tambahan untuk menguruskan pertambahan tersebut.

“Perjanjian bandar hos menetapkan saiz delegasi seramai 15,000 orang sahaja. Kami tidak memperuntuk sebarang bajet melebihi jumlah tersebut dan sememangnya tiada lagi tempat tinggal untuk mereka,” tegas Omura yang juga Gabenor Wilayah Aichi.

“Sekiranya kontinjen berkenaan masih berhasrat untuk bertanding, mereka perlu menguruskan penginapan sendiri,” tegasnya.

Sehingga kini, pihak OCA masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu berkenaan.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.