Sukan Asia Aichi-Nagoya dibuka dengan rasmi

Foto RTM

NAGOYA, 19 September – Penantian 32 tahun Jepun untuk kembali menjadi tuan rumah Sukan Asia berakhir apabila upacara pembukaan temasya ke-20 itu berlangsung penuh gilang-gemilang di Nagoya City Mizuho Park Athletic Stadium, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bertemakan Imagine One Asia, upacara menampilkan persembahan artistik dan pertunjukan cahaya yang mencerminkan identiti dan keterujaan tuan rumah.
  • Hadir sama Maharaja Naruhito, Maharani Masako, Putera Mahkota Fumihito, Puteri Mahkota Kiko, Presiden OCA Sheikh Joaan dan Presiden IOC Kirsty Coventry.
  • Malaysia hadir kali ke-19 berturut-turut, kontinjen ke-22 diketuai Datuk Mohd Sumali Reduan; Jalur Gemilang diarak Tan Cheong Min dan Muhammad Azeem.
  • Temasya berlangsung hingga 4 Oktober dengan 469 acara pingat dari 43 sukan; Malaysia hantar 352 atlet, 185 pegawai, sasaran enam pingat emas.

Bertemakan Imagine One Asia upacara yang bermula pada 6 petang waktu tempatan itu menampilkan persembahan artistik dan pertunjukan cahaya berwarna-warni, mencerminkan identiti serta keterujaan Jepun menganjurkan Sukan Asia buat kali ketiga selepas Tokyo pada 1958 dan Hiroshima pada 1994.

Majlis turut dihadiri Maharaja Naruhito dan Maharani Masako, Putera Mahkota Akishino Fumihito serta Puteri Mahkota Kiko, Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Sheikh Joaan Hamad Al Thani dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Kirsty Coventry.

Upacara dimulakan dengan segmen Welcome Aichi-Nagoya – Awakening of the Space and the Resonating Heart Beat, sebelum kemasukan bendera Jepun dan perbarisan kontinjen 45 negara yang bertanding.

Malaysia yang menyertai Sukan Asia buat kali ke-19 berturut-turut tampil sebagai kontinjen ke-22, diketuai Chef de Mission, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Jalur Gemilang diarak gandingan atlet wushu wanita, Tan Cheong Min dan pelari pecut lelaki, Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Kontinjen negara turut tampil dengan busana batik khas berlatarkan warna putih yang melambangkan perpaduan dan keterbukaan, diserikan corak biru, merah dan emas sebagai simbol keyakinan, keberanian, semangat serta aspirasi mengejar kecemerlangan.

Motif bunga dan tumbuhan tradisional turut diketengahkan, manakala tampalan Jalur Gemilang pada bahagian lengan menjadi elemen memperingati sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Majlis diteruskan dengan ucapan Presiden Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Aichi-Nagoya (AINAGOC), Hideaki Omura dan Sheikh Joaan, sebelum deklarasi rasmi pembukaan temasya.

Segmen artistik kemudiannya mengetengahkan sejarah, tradisi dan kemajuan Aichi-Nagoya menerusi gabungan tarian Jepun, muzik tradisional, teknologi, cahaya serta elemen perindustrian.

Kemuncak acara menyaksikan enam pembawa obor membawa api temasya mengelilingi stadium sebelum menyalakan kawah Sukan Asia, diikuti persembahan penutup Harmonic Heart Beat – United as One in Aichi-Nagoya yang menggambarkan kesatuan seluruh Aichi-Nagoya dalam meraikan permulaan temasya.

Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 berlangsung sehingga 4 Oktober dengan 469 acara pingat daripada 43 jenis sukan dipertandingkan.

Malaysia menghantar 352 atlet dan 185 pegawai untuk menyertai 30 jenis sukan dengan sasaran meraih enam pingat emas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.