Stadium SoFi jalani transformasi besar-besaran menjelang Piala Dunia 2026

Foto AFP

LOS ANGELES, 13 Mei – Stadium SoFi yang bernilai AS$5 bilion kini sedang menjalani transformasi drastik termasuk merombak ratusan tempat duduk dan menukar permukaan padang bagi memenuhi piawaian ketat Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjelang sepak mula saingan Piala Dunia.

Ratusan tempat duduk di bahagian penjuru stadium berkenaan mula ditanggalkan, manakala bekalan rumput segar dari Washington mula dihantar pada Selasa dalam usaha terakhir mempersiapkan venue itu bagi saingan bola sepak paling berprestij di dunia.

Stadium tersebut turut menyaksikan padang tiruan standard NFL ditutup dengan lapisan pasir dan bahan lantai khas, selain menanggalkan semua papan tanda penaja korporat sebagai syarat penganjuran yang ditetapkan oleh badan induk bola sepak dunia itu.

Venue berkenaan akan diserahkan secara rasmi kepada FIFA esok dan bakal dikenali dengan nama “Stadium Los Angeles” sepanjang kejohanan berlangsung.

Naib Presiden Kanan Operasi Fasiliti dan Kampus, Otto Benedict berkata, sebanyak 100 tempat duduk di setiap penjuru stadium terpaksa dialihkan bagi membolehkan saiz padang memenuhi kriteria FIFA yang lebih lebar berbanding padang bola sepak Amerika.

“FIFA pada mulanya mahukan dimensi sehingga 80 meter lebar di bahagian penjuru, namun menyedari tiada satu pun daripada 11 stadium NFL yang digunakan mampu memenuhi jarak tersebut. Mereka akhirnya bekerjasama dengan kami untuk melihat sejauh mana ruang yang boleh dioptimumkan,” katanya kepada AFP.

Menurut Benedict, walaupun beberapa baris tempat duduk kekal terpaksa dirombak, ia memberi kelebihan kepada penyokong di bahagian tersebut yang kini bakal berada lebih hampir dengan aksi perlawanan.

Mengenai sistem padang, rumput segar akan dituai di Pasifik Barat Laut sebelum dibawa terus menggunakan lori sejuk beku bagi memastikan kualiti rumput terjaga sebelum proses penanaman yang dijangka mengambil masa selama dua hari.

Stadium tersebut yang mempunyai bumbung lut sinar mempunyai kelebihan seperti rumah hijau yang membantu pertumbuhan rumput, selain dilengkapi sistem pengairan baharu dan lampu pertumbuhan khas.

Stadium Los Angeles dijadualkan menjadi venue perlawanan pertama Amerika Syarikat menentang Paraguay dalam tempoh kurang sebulan lagi. – AFP