Piala Dunia: Nasib Neymar jadi tanda tanya

Foto REUTERS

RIO DE JANEIRO, 13 Mei – Status mengenai penyertaan penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil, Neymar, dalam kempen Piala Dunia 2026 bakal terjawab apabila pengendali pasukan, Carlo Ancelotti, dijadual mengumumkan barisan akhir skuad Selecao pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Neymar menghadapi kecederaan berpanjangan dan prestasi hambar sejak kembali ke Santos.
  • Ancelotti perlu memilih antara nilai sentimental terhadap Neymar dan kecergasan taktikal pasukan intensiti tinggi.
  • Keputusan termasuk Neymar dijangka mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat yang dahagakan Piala Dunia pertama sejak 2002.

Bintang berusia 34 tahun itu kini berdepan situasi tidak menentu selepas dihantui masalah kecederaan berpanjangan serta prestasi hambar sejak kembali ke kelab Santos.

Ancelotti kini perlu membuat keputusan sukar antara nilai sentimental terhadap ikon bola sepak itu atau tuntutan aspek kecergasan dalam merangka pelan taktikal berintensiti tinggi buat juara dunia lima kali itu.

“Apabila anda perlu membuat pilihan, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan,” kata Ancelotti dalam satu temu bual eksklusif bersama Reuters di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF), pada Selasa.

Ancelotti merupakan satu-satunya jurulatih dalam sejarah bola sepak yang pernah memenangi gelaran liga di kesemua lima liga utama Eropah, selain menjulang rekod lima trofi Liga Juara Eropah sebagai pengurus.

Keputusan menyenaraikan Neymar dijangka akan mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak di negara berkenaan yang mendahagakan kejuaraan dunia pertama sejak 2002. – REUTERS