Advocaat bakal cipta rekod jurulatih tertua Piala Dunia FIFA 2026

Jurulatih Curacao, Dick Advocaat bakal memegang status pengendali tertua pada Piala Dunia FIFA 2026./Foto AFP

WILLEMSTAD, 13 Mei – Jurulatih veteran, Dick Advocaat, kembali menggalas tugas selaku ketua jurulatih Curacao bagi menghadapi saingan Piala Dunia FIFA 2026 bulan depan, sekali gus bakal melakar sejarah sebagai pengendali tertua dalam sejarah kejohanan tersebut pada usia 78 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persatuan bola sepak Curacao lantik Dick Advocaat menggantikan Fred Rutten yang meletak jawatan.
  • Rutten dikatakan tunduk tekanan pemain dan penaja selepas prestasi hambar, termasuk dua kekalahan menentang China dan Australia.
  • Curacao, dengan populasi sekitar 150,000, bakal mewakili negara terkecil; diundi Kumpulan E bersama Ecuador, Jerman dan Ivory Coast.

Advocaat bakal memadam rekod jurulatih Jerman, Otto Rehhagel, yang sebelum ini memegang status pengendali tertua ketika mengemudi Greece menentang Argentina pada Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan semasa berusia 71 tahun.

Pelantikan Advocaat diumumkan oleh persatuan bola sepak pulau Caribbean itu semalam, bagi menggantikan Fred Rutten yang meletak jawatan pada Isnin.

Keputusan Rutten untuk mengundur diri dipercayai berpunca daripada tekanan pelbagai pihak, termasuk pemain dan penaja utama yang mahukan Advocaat kembali menerajui pasukan.

Terdahulu, Advocaat meninggalkan jawatan tersebut pada Februari lalu akibat masalah kesihatan anak perempuannya.

Rutten, 63, yang sebelum ini dilantik sebagai pengganti, hanya sempat mengemudi pasukan dalam dua perlawanan Mac lalu yang menyaksikan Curacao tewas menentang China dan Australia.

Rentetan prestasi hambar itu menjadi antara punca wujud gerakan untuk membawa pulang Advocaat bagi menggantikan Rutten.

Dengan populasi sekitar 150,000 penduduk, Curacao bakal menjadi negara terkecil yang pernah bertanding di pentas Piala Dunia FIFA.

Pasukan itu diundi dalam Kumpulan E dan dijadualkan berdepan cabaran hebat menentang Ecuador, Jerman, serta Ivory Coast dalam kejohanan yang dihoskan bersama oleh Kanada, Mexico, dan Amerika Syarikat.

Edisi kali ini merupakan penampilan ketiga Advocaat di pusingan akhir Piala Dunia selepas pernah membimbing Belanda pada 1994 serta Korea Selatan pada 2006.- REUTERS