Gol sendiri Bento rencat hasrat Al-Nassr

Sebahagian penyokong Al Nassr kelihatan kecewa dengan keputusan seri 1-1 ketika menentang Al Hilal /REUTERS

RIYADH, 13 Mei – Hasrat Al-Nassr untuk menjulang kejuaraan Liga Pro Saudi lebih awal terbantut selepas gol sendiri penjaga gol, Bento, pada minit ke-98 memaksa keputusan seri 1-1 menentang pencabar terdekat, Al Hilal, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohamed Simakan membuka jaringan pada minit ke-37 melalui sepakan sudut.
  • Kingsley Coman terlepas peluang keemasan apabila rembatan mengenai tiang sebelum tamat separuh masa pertama.
  • Cristiano Ronaldo masih belum menjulang trofi domestik pertamanya bersama Al Nassr, gagal mencari gol pada babak kedua.
  • Al Nassr perlu menang menentang Damac pada 21 Mei untuk mengesahkan gelaran, atau bergantung pada keputusan Al Hilal menentang Neom.

Kemenangan yang hampir dalam genggaman Al-Nassr lenyap pada minit-minit akhir perlawanan selepas Bento gagal menangkap kemas bola hasil lontaran ke dalam jauh oleh pemain Al-Hilal, sekali gus menyaksikan bola melantun masuk ke gawang sendiri.

Terdahulu, tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi Mohamed Simakan pada minit ke-37 hasil sepakan sudut.

Namun Kingsley Coman terlepas peluang keemasan untuk menggandakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama apabila rembatannya sekadar menggegar tiang gol.

Bintang sensasi, Cristiano Ronaldo, yang masih memburu trofi domestik pertamanya bersama Al-Nassr, turut buntu menemui sasaran apabila percubaannya sedikit tersasar sejurus perlawanan bersambung di babak kedua.

Al-Nassr hanya memerlukan kemenangan menentang Damac dalam aksi terakhir musim ini pada 21 Mei depan untuk mengesahkan gelaran juara, atau lebih awal sekiranya Al Hilal gagal menewaskan Neom pada Sabtu ini.

Kali terakhir Al-Nassr menjulang kejuaraan liga adalah pada musim 2018-2019. – REUTERS