
TIJUANA, 8 Jun – Skuad kebangsaan Iran tiba di Tijuana, Mexico awal pagi Ahad menjelang perlawanan Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS), dalam suasana penuh ketegangan geopolitik yang terus membayangi penyertaan mereka di kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.
- Kawalan keselamatan ketat mengiringi skuad, dengan polis dan tentera menjaga pergerakan mereka ke hotel.
- Tijuana dipilih sebagai pangkalan latihan sementara kerana isu visa dan kebimbangan keselamatan memasuki Amerika Syarikat.
- Jurulatih kecewa aspek kemanusiaan dan etika diabaikan; pemain nyatakan mereka secara fizikal bersedia untuk beraksi.
Pasukan tersebut mendarat kira-kira pukul 5.00 pagi waktu tempatan selepas penerbangan semalaman dari Turkiye, di mana mereka menjalani kem latihan selama tiga minggu.
Ketibaan mereka diiringi kawalan keselamatan ketat membabitkan polis dan tentera sebelum dibawa ke hotel penginapan, manakala sekumpulan kecil penyokong yang membawa bendera Iran turut kelihatan di lapangan terbang.
Keputusan Iran menjadikan Tijuana sebagai pangkalan latihan dilihat sebagai langkah sementara susulan ketidaktentuan berhubung isu visa serta kebimbangan terhadap keselamatan dan pergerakan pasukan ke AS.

Menurut Duta Iran ke Mexico, Abolfazl Pasandideh, perpindahan saat akhir dari Arizona ke Mexico dibuat selepas terdapat keraguan sama ada seluruh delegasi akan dibenarkan memasuki AS.
Jurulatih Iran, Amir Ghalenoei, berkata sepatutnya pasukan tiba lebih awal bagi menyesuaikan diri dengan perbezaan zon masa, namun keadaan semasa menyukarkan perancangan teknikal pasukan.
“Saya percaya dalam kejohanan seperti ini, aspek kemanusiaan dan etika sepatutnya diutamakan, namun perkara itu tidak diberikan kepada kami,” katanya.
Pertahanan Iran, Ehsan Hajsafi, pula mengakui pasukan berdepan situasi sukar sejak tercetusnya konflik serantau, namun menegaskan pemain berada dalam keadaan fizikal terbaik dan bersedia untuk beraksi.
Iran dijadualkan membuka kempen Kumpulan G menentang New Zealand pada 15 Jun di sekitar Los Angeles, diikuti Belgium pada 21 Jun, sebelum menentang Mesir di Seattle pada 26 Jun.
Sekiranya kedua-dua pasukan mara, Iran berkemungkinan berdepan AS pada pusingan 32 terakhir, sekali gus menambah lagi dimensi politik kepada kejohanan tersebut. – REUTERS