Hakim Danish tekad bangkit di GP Republik Czech

Pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli / foto FB Hakim Danish

KUALA LUMPUR, 8 Jun — Pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, menganggap kegagalannya menamatkan perlumbaan pada Grand Prix (GP) Hungary sebagai pengalaman berharga dalam usaha mematangkan dirinya sebagai pelumba.

RINGKASAN BERITA AI
  • Terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal selepas kemalangan pusingan pertama akibat dilanggar dari belakang, menyebabkan kehilangan peluang kutip mata.
  • Tiba di Hungary dengan keyakinan selepas raih podium Moto3 pertama pada GP Itali minggu lalu.
  • Gagal layak ke sesi Q2, mulakan perlumbaan dari petak ke-19 dan sukar menyesuaikan diri dengan Litar Balaton Park.
  • Sekarang fokus kepada GP Republik Czech (19-21 Jun) dan menduduki tempat ke-10 keseluruhan dengan 48 mata selepas lapan pusingan.

Pelumba berusia 18 tahun itu terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal selepas terbabit dalam kemalangan pada pusingan pertama di Litar Balaton Park, semalam.

Menurut Hakim Danish, insiden tersebut berpunca daripada pelanggaran oleh seorang pelumba lain dari belakang, sekali gus menjejaskan peluangnya untuk mengutip mata.

“Sudah tentu saya sedikit kecewa kerana tidak dapat menamatkan perlumbaan selepas terjatuh pada pusingan awal. Namun, itulah asam garam dalam dunia perlumbaan motosikal,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Hakim Danish tiba di Hungary dengan keyakinan tinggi selepas mencipta pencapaian terbaik karier apabila meraih podium Moto3 pertama pada GP Itali minggu lalu.

Bagaimanapun, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan cabaran Litar Balaton Park yang pertama kali dihadapinya.

Pelumba kelahiran Terengganu itu turut gagal melayakkan diri ke sesi Kelayakan 2 (Q2) dan memulakan perlumbaan dari petak ke-19.

“Masih banyak aspek perlu saya perbaiki, baik dari segi tunggangan mahupun pemahaman terhadap litar. Saya akan menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran untuk terus berkembang dan kembali lebih kuat pada masa hadapan,” katanya.

Tumpuan Hakim Danish kini beralih kepada GP Republik Czech yang dijadual berlangsung di Automotodrom Brno dari 19 hingga 21 Jun ini.

Selepas lapan pusingan perlumbaan, beliau menghuni tangga ke-10 carta keseluruhan Moto3 dengan mengumpul 48 mata.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.