
MEXICO CITY & TIJUANA, 6 Jun – Di sebalik ketegangan geopolitik yang meruncing, barisan pemain skuad bola sepak kebangsaan Iran akhirnya diberikan visa untuk memasuki Amerika Syarikat (AS) bagi mengharungi kempen Piala Dunia yang akan membuka tirainya tidak lama lagi.
- Pengesahan pegawai White House bahawa visa pemain diluluskan 10 hari sebelum perlawanan pembukaan di Los Angeles pada 15 Jun.
- Isu dokumentasi bagi beberapa kakitangan teknikal dan pengurusan masih belum selesai sepenuhnya menurut agensi Fars.
- Skuad terpaksa memindahkan kem latihan pusat dari Arizona ke Tijuana sebelum berlepas ke Los Angeles.
Seorang pegawai White House mengesahkan pada Jumaat bahawa visa kemasukan bagi barisan pemain Iran telah diluluskan 10 hari sebelum aksi pembukaan kejohanan menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun ini.
Bagaimanapun, persediaan pasukan itu sedikit terganggu apabila agensi berita separa rasmi Iran, Fars, melaporkan bahawa isu dokumentasi melibatkan visa bagi beberapa kakitangan teknikal dan pengurusan pasukan masih belum selesai sepenuhnya.
Ekoran isu kelewatan visa berkenaan skuad Iran terpaksa memindahkan kem latihan pusat mereka dari Arizona ke Tijuana, Mexico, sebelum dijadualkan mendarat di Los Angeles pada Ahad ini.
Sementara itu, Duta Iran ke Mexico, Abolfazl Pasandideh berkata, kehadiran skuad kebangsaan republik Islam itu ke bumi AS membuktikan komitmen Tehran dalam mencari perdamaian global meskipun kedua-dua negara berkenaan masih berada dalam konflik.
Beliau menegaskan, Iran sentiasa berusaha meyakinkan rakyat Amerika bahawa perselisihan yang berlaku bukan bersandarkan sentimen negara sebaliknya melibatkan penentangan terhadap dasar-dasar yang dibawa oleh Presiden AS, Donald Trump.
“Tindakan kami untuk datang (ke AS) demi bola sepak menunjukkan kepada dunia bahawa Iran mahukan keamanan dan bukannya sebuah negara yang pendendam,” katanya dalam satu kenyataan di Kedutaan Iran di Mexico City, Khamis. – REUTERS