Skuad boling padang disasar rangkul dua pingat di Glasgow

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 Datuk Awalan Abdul Aziz. Foto/Bernama.

KUALA LUMPUR, 10 JULAI – Skuad boling padang negara berada pada landasan terbaik untuk merangkul sekurang-kurangnya dua pingat pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keyakinan berasaskan prestasi semasa dan kedudukan ranking dunia atlet terpilih.
  • Keempat-empat acara berpeluang mara ke pusingan separuh akhir berdasarkan rekod prestasi.
  • Persediaan taktikal dan mental diperkasa dengan jurulatih pakar Australia dan Ireland; atlet dihantar seminggu awal ke Glasgow.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, keyakinan itu bersandarkan status prestasi semasa serta kedudukan ranking dunia yang dimiliki oleh barisan atlet terpilih bagi menggalas cabaran negara.

“Sasaran pingat, saya mensasarkan dua pingat. Warna kita tak tahu. Jadi saya mengatakan pada mereka, cuba semuanya masuk final.”

“Saya percaya berdasarkan prestasi semasa mereka, berdasarkan rekod pencapaian mereka menghadapi pemain-pemain luar negara lain, di Sukan Komanwel nanti yang kita dah kenal pasti, kesemua keempat-empat acara ini mempunyai peluang untuk mara ke pusingan semifinal.” katanya kepada pemberita selepas meninjau kem latihan skuad boling padang negara di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Tambah beliau, pemilihan barisan atlet kali ini sangat kompetitif memandangkan Malaysia mempunyai lambakan pemain berkualiti tinggi yang telah membuktikan keupayaan di peringkat antarabangsa sebelum ini.

Bagi memastikan sasaran itu tercapai, persediaan taktikal dan mental skuad negara telah diperkasakan menerusi pelantikan jurulatih pakar dari Australia dan Ireland sepanjang kem latihan intensif baru-baru ini.

Mengulas mengenai keputusan menghantar atlet seminggu lebih awal ke Glasgow, Datuk Awalan mengakui ia adalah strategi paling ideal bagi mengelakkan isu kelesuan dan penurunan prestasi kemuncak pemain sebelum saingan bermula.

Skuad negara dijadualkan memulakan saingan peringkat kumpulan pada 24 Julai ini bagi memburu empat pingat emas yang ditawarkan menerusi acara single lelaki dan wanita serta pairs lelaki dan wanita.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas boling padang pada temasya itu adalah pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia menerusi gandingan Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji dalam acara pairs wanita.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.