RTG LA28: PKBM hantar permohonan rasmi sokong Azizulhasni minggu depan

Datuk Amarjit Singh/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) minggu depan bagi menyenaraikan semula Datuk Azizulhasni Awang dalam program Road to Gold (RTG).

RINGKASAN BERITA AI
  • PKBM memberikan sokongan padu kepada Azizulhasni untuk meneruskan misi layak ke LA28, menilai beliau masih berdaya saing berdasarkan prestasi semasa.
  • Presiden PKBM Amarjit Singh berkata Azizulhasni layak diberi peluang kerana masih mempunyai misi belum selesai dan mampu bersaing di pentas tertinggi.
  • Kerajaan, MSN, ISN dan RTG perlu memberi sokongan menyeluruh termasuk pembiayaan dan sains sukan bagi memberi kepastian kepada atlet.

Langkah itu sebagai sokongan padu buat jaguh berbasikal trek negara itu sekiranya beliau memutuskan untuk meneruskan aksi memburu slot ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh menyifatkan ‘The Pocket Rocketman’ masih mempunyai misi yang belum selesai di pentas tertinggi dunia itu dan layak diberi peluang berdasarkan prestasi semasanya.

“Saya sudah berbincang dengan Azizul dan pendirian saya tidak pernah berubah. Beliau perlu diberi peluang untuk terus berjuang sehingga Los Angeles kerana tugasnya masih belum selesai.

Kita dapat lihat sendiri di Sukan Komanwel dan kejohanan sebelum ini, beliau masih mampu bersaing di peringkat tertinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis penganugerahan The Most Admirable Order of the Direkgunabhorn kepada tokoh berbasikal negara, Tan Sri Darshan Singh Gill, di sini.

Menurut beliau, satu surat rasmi akan dihantar kepada Menteri KBS, Dr Taufiq Johari serta Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin bagi memastikan Datuk Azizulhasni mendapat sokongan ekosistem yang lengkap merangkumi aspek pembiayaan dan sains sukan.

Jelasnya, sistem kelayakan ke LA28 kali ini lebih mencabar dan memerlukan penglibatan Datuk Azizulhasni dalam pelbagai siri perlumbaan termasuk Piala Dunia.

“Jika beliau menjadi taruhan kita ke Los Angeles, sokongan penuh daripada Institut Sukan Negara (ISN), MSN dan RTG adalah amat diperlukan. Kerajaan dan MSN juga perlu menyatakan pendirian jelas bahawa khidmat beliau masih diperlukan untuk memberi keyakinan kepada atlet itu sendiri.

Secara peribadi, saya tahu jauh di sudut hati beliau memang mahu beraksi lagi, namun beliau perlukan kepastian mengenai sokongan semua pihak,” tambahnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.