
MADRID, 25 Ogos – Jurulatih Real Madrid, Jose Mourinho sangat gembira dengan skuad dimilikinya yang disifatkan lengkap, walaupun gagal mendapatkan khidmat pemain tengah Rodri yang menyertai seteru mereka, Barcelona.
Los Blancos melakukan rombakan skuad pada musim panas ini dengan menandatangani enam pemain termasuk pemain termahal Yan Diomande, Bernardo Silva dan Marc Cucurella.
- Mourinho anggap skuad lengkap, tidak meminta pembelian baru walaupun jendela perpindahan masih dibuka.
- Aurelien Tchouameni cedera, belum pulih dan tidak disertakan untuk perlawanan menentang Real Sociedad.
- Valverde sesuai beraksi di tengah, Mourinho tekankan peranan pemain lebih fleksibel dalam bola sepak moden.
Bagaimanapun, usaha Madrid mendapatkan Rodri tidak berhasil, bermakna selain bekas pemain tengah Manchester City, Silva, mereka tidak menambah kekuatan di bahagian tengah.
“Bagi saya skuad sudah lengkap, tetapi jendela perpindahan masih dibuka. Kita tidak tahu sekiranya ada pemain baharu yang datang.
“Secara teorinya, tiada lagi perpindahan diperlukan, namun apa sahaja boleh berlaku pada bila-bila masa. Bagi saya, skuad ini sudah lengkap sepenuhnya dan saya tidak meminta mana-mana pemain baharu. Saya amat berpuas hati dengan pemain yang ada ketika ini,” katanya kepada pemberita.
Selepas tonggak di barisan tengah, Luka Modric dan Toni Kroos meninggalkan Madrid masing-masing pada 2024 dan 2025, kelab itu bergelut untuk mengawal permainan.
Anak buah Mourinho meraih kemenangan tipis 2-1 ketika menentang Espanyol pada Sabtu dalam aksi pembukaan La Liga, dengan Silva dan Federico Valverde digandingkan di bahagian tengah.
Sementara itu, Mourinho memaklumkan pemain tengah dari Perancis, Aurelien Tchouameni belum bersedia untuk diturunkan menentang Real Sociedad pada Rabu.
“Dia mengalami masalah kecederaan dan tempoh rehat yang ada tidak mencukupi untuk membolehkannya pulih sepenuhnya. Walaupun perlawanan semakin hampir dan dia mahu beraksi, kami memutuskan bahawa seseorang pemain tidak seharusnya memulakan musim baharu dalam keadaan belum pulih sepenuhnya.
“Seorang pemain mungkin boleh mengharungi penghujung musim dalam keadaan tidak berada pada tahap terbaik, terutama dalam tempoh dua bulan terakhir, tetapi tidak wajar memulakan musim pada Ogos jika belum mencapai kecergasan 100 peratus.
“Selepas berbincang dengannya, barisan kejurulatihan dan jabatan perubatan, kami memutuskan untuk memberinya masa sehingga dia kembali cergas sepenuhnya,” kata Mourinho.
Beliau yakin terhadap kemampuan pemain antarabangsa Uruguay, Valverde untuk beraksi di bahagian tengah walaupun jurulatih terdahulu menggunakannya dalam pelbagai posisi, termasuk bek kanan dan sayap kanan.
“Pada pandangan saya, dia merupakan pemain yang sesuai beraksi di bahagian tengah. Peranannya bergantung kepada kekuatan lawan serta taktikal pasukan, sama ada kekal pada posisinya atau diberi kebebasan untuk bergerak dengan lebih fleksibel, katanya.
Mourinho berkata dalam bola sepak moden, kedudukan pemain di atas padang semakin kurang penting.
“Saya tidak mahu menetapkan Tchouameni sebagai pemain nombor enam, Camavinga nombor enam, Fede nombor lapan atau Bernardo nombor 10 kerana peranan dan kedudukan pemain boleh berubah sepanjang permainan,” katanya. -AFP