Spurs labur £75 juta dapatkan Savinho dari Man City

Foto FB Tottenham Hotspur

LONDON, 25 Ogos – Tottenham Hotspur menandatangani pemain sayap Brazil, Savinho dari Manchester City pada Selasa dengan yuran perpindahan awal dilaporkan bernilai £75 juta (AS$102 juta), sekali gus menjadikan jumlah perbelanjaan kelab itu dalam pasaran perpindahan kali ini melebihi £300 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Savinho gagal mendapat tempat selaku pemain tetap di Manchester City sepanjang dua musim.
  • Spurs berharap Savinho menambah kepantasan dan kreativiti serangan selepas pasukan nyaris tersingkir musim lalu.
  • Savinho gembira sertai Spurs, puji pengurus dan percaya mampu capai tahap tertinggi bersama pasukan.
  • De Zerbi puji tenaga, imaginasi dan kualiti Savinho; mahu bantu pemulihan serta perkembangan pemain dalam skuad.

Pemain berusia 22 tahun itu gagal mendapat tempat secara konsisten dalam kesebelasan utama sepanjang dua musim di Etihad.

Namun, Spurs berharap kehadirannya mampu menambah kepantasan dan kreativiti di bahagian serangan selepas kelab itu nyaris tersingkir dari Liga Perdana Inggeris, musim lalu.

Savinho menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Tottenham mengakui sangat gembira untuk bersama kelab baharunya.

“Ini peluang yang luar biasa di sebuah kelab hebat dengan salah seorang pengurus terbaik dunia. Sebaik sahaja berbincang dengan ketua jurulatih, saya tahu saya perlu datang ke sini. Beliau memberitahu bahawa dia mahu membantu saya mencapai tahap tertinggi dan saya percaya kami boleh melakukannya bersama-sama sebagai satu pasukan,” kata Savinho.

Sentuhan Roberto De Zerbi pada penghujung musim lalu membantu Spurs mengelak daripada tersingkir ke divisyen kedua buat kali pertama dalam tempoh 49 tahun.

Bagaimanapun, usaha pengurus Itali itu untuk membentuk semula skuad Tottenham bermula dengan langkah sumbang apabila mereka tewas 0-3 kepada Brentford pada aksi pembukaan musim Liga Perdana Inggeris.

Kehadiran Savinho menambah senarai pemain berprofil tinggi Spurs bersama Mateus Fernandes, Sandro Tonali dan Jan Paul van Hecke, manakala Marcos Senesi, Andy Robertson serta Martin Dubravka pula menyertai kelab itu secara percuma.

“Savio (Savinho) merupakan pemain yang membawa tenaga, imaginasi dan kualiti di posisi sayap. Dia berani mencabar pertahanan lawan dan mempunyai kemampuan untuk mengubah permainan menerusi kreativiti yang dimilikinya.

“Kami sangat gembira dapat memilikinya dan saya tidak sabar untuk bekerja dengannya, membantunya terus berkembang serta melihat personalitinya terserlah dalam pasukan,” kata De Zerbi.

City dilaporkan berpeluang menerima tambahan sehingga £10 juta menerusi klausa bonus.

Urus niaga antara kedua-dua kelab itu juga dijangka berterusan apabila penyerang Mesir, Omar Marmoush dikhabarkan bakal meninggalkan Manchester untuk menyertai kelab London Utara itu sebelum jendela perpindahan ditutup minggu depan.

Savinho menyertai City dari kelab Perancis Troyes, salah sebuah pasukan bawah naungan pemilik City, dengan nilai £30 juta pada 2024.

Dia mula mencuri perhatian ketika dipinjamkan kepada Girona, satu lagi kelab dalam kumpulan City Football Group, namun gagal mengulangi prestasi cemerlang itu selepas berpindah ke England.

Dalam 84 penampilan bersama City, Savinho hanya meledak tujuh gol, ketika kelab berkenaan gagal menjulang trofi Liga Perdana Inggeris atau Liga Juara Eropah dalam dua musim terakhir kendalian Pep Guardiola. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.