
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Pasangan negara Nur Syahira Amani Abdullah-Helena Jamal muncul juara acara beregu wanita pada Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia ke-25 di Pusat Boling Jaya Ancol, Jakarta, Indonesia hari ini.
- Gandingan mencatatkan 2,304 jatuhan pin dalam enam permainan, menewaskan pasangan Hong Kong dengan kelebihan 37 pin.
- Jumlah per permainan: 331, 402, 385, 366, 394 dan 426 jatuhan pin.
- Kebangkitan pada permainan terakhir: Helena 240 dan Nur Syahira 186, jumlah 426 berbanding 374 lawan.
- Pasangan Singapura raih gangsa dengan 2,263; Taiwan keempat 2,245; pasangan Malaysia lain di tempat kelima (2,218).
Gandingan itu mencatatkan 2,304 jatuhan pin menerusi enam permainan untuk meraih emas, menewaskan pasangan Hong Kong Tavia Wong Tsz Ching-Law Wai Ching dengan kelebihan 37 pin yang meraih perak dengan 2,267 jatuhan pin.
Nur Syahira-Helena mencatatkan jumlah jatuhan pin sebanyak 331, 402, 385, 366, 394 dan 426 menerusi enam permainan.
Mereka melakukan kebangkitan luar biasa pada permainan terakhir selepas ketinggalan 15 pin di belakang pasangan Hong Kong itu, dengan Helena melakukan 240 jatuhan pin manakala Nur Syahira menyumbang 186 untuk jumlah keseluruhan 426, berbanding Tavia (192) dan Law (182) yang mencatatkan jumlah 374.
Pasangan Singapura Foo Shi Ern Rachel-Lee Hyi En Shannon meraih gangsa dengan 2,263 jatuhan pin.
Sementara itu, satu lagi pasangan Malaysia Khaira Nur Aleesya Azrul Izwan-Ayra Deliza Mohd Kamarul Azizi menduduki tempat kelima daripada 18 pasangan dengan 2,218 jatuhan pin, di belakang gandingan Taiwan yang menduduki tempat keempat, Liao Ssu-An-Li Yi-Rou yang mengumpul 2,245 jatuhan pin.
Kejohanan itu berlangsung dari 21 hingga 30 Ogos. -BERNAMA