Ethiopia bida jadi tuan rumah AFCON 2028

Kali terakhir Ethiopia menjadi tuan rumah AFCON pada 1976/ Foto CAF

ADDIS ABABA, 25 Ogos – Ethiopia secara rasmi mengemukakan bidaan untuk menganjurkan kejohanan Piala Negara Afrika (AFCON) 2028, sekali gus berpeluang menjadi tuan rumah kejohanan itu buat kali pertama selepas lebih lima dekad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cabaran keselamatan: konflik bersenjata di Amhara dan Oromia serta kebimbangan perang saudara melibatkan Tigray.
  • Ethiopia kini di tangga ke-143 daripada 211 negara dalam ranking FIFA.
  • Mulai 2028, AFCON akan dianjurkan setiap empat tahun, selari dengan kejohanan FIFA.

Persekutuan Bola Sepak Ethiopia mengesahkan bidaan tersebut menerusi hantaran di platform X, pada Isnin.

Kali terakhir negara itu menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan pada 1976.

Bagaimanapun, usaha Ethiopia untuk menjadi tuan rumah bagi edisi 2028 berdepan beberapa cabaran, termasuk konflik bersenjata yang masih berlarutan di dua negeri berpenduduk paling ramai, Amhara dan Oromia, selain kebimbangan berhubung kemungkinan tercetus semula perang saudara antara kerajaan persekutuan dengan wilayah Tigray di utara negara itu.

“Ethiopia secara rasmi mengemukakan bidaan kepada CAF (Konfederasi Bola Sepak Afrika) untuk menjadi tuan rumah AFCON 2028, sekali gus menegaskan kesediaan penuh negara untuk menganjurkan acara bola sepak terbesar di Afrika,” menurut persekutuan itu dalam hantaran di laman X.

Skuad Ethiopia kini menduduki tangga ke-143 daripada 211 negara dalam ranking Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kali terakhir Ethiopia beraksi dalam kejohanan AFCON ialah pada 2022, namun kempen mereka berakhir di peringkat kumpulan.

AFCON sebelum ini dianjurkan oleh Maghribi, manakala edisi tahun depan akan dianjurkan secara bersama oleh Kenya, Uganda dan Tanzania.

Mali, Niger dan Burkina Faso turut menyatakan hasrat untuk menjadi tuan rumah bersama AFCON bagi edisi 2032.

Mulai 2028, kejohanan AFCON akan menggunakan jadual baharu dengan penganjuran diadakan setiap empat tahun, selaras dengan kejohanan lain bawah FIFA. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.