Piala Dunia 2026: Rapinha tekad balas kepercayaan Ancelotti

Pasukan Brazil menjalani sesi latihan menjelang aksi pembukaan menentang Maghribi / REUTERS

NEW JERSEY, 11 Jun – Bintang Brazil, Raphinha, bertekad untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih, Carlo Ancelotti, pada kempen Piala Dunia selepas sering menjadi ‘duri dalam daging’ kepada pengendali dari Itali itu ketika aksi di peringkat kelab sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ancelotti memimpin Brazil berusaha akhiri kemarau 24 tahun menjuarai Piala Dunia.
  • Neymar dijangka terlepas aksi pembukaan akibat kecederaan betis; Raphinha diminta memimpin jentera serangan.
  • Raphinha kini lebih matang berbanding 2022 dan tampil cemerlang dengan 21 gol untuk Barcelona musim ini.
  • Brazil diundi Kumpulan C bersama Maghribi, Haiti dan Scotland, menambah cabaran sebelum meneruskan kempen.

Kedua-dua individu berkenaan itu pernah bersaing hebat selama tiga tahun di Sepanyol ketika penyerang berusia 29 tahun itu menyarung jersi Barcelona, manakala Ancelotti mengemudi musuh tradisi, Real Madrid.

“Apa yang telah beliau (Ancelotti) capai dalam bola sepak amat mengagumkan, bukan sahaja kepada mereka yang pernah bekerja dengannya, malah kepada pihak lawan.

“Sebelum ini, sentiasa sukar untuk berdepan dengannya, tetapi saya bertuah kerana sering menang pada penghujung perlawanan.

“Kini, saya harap dapat melakukan untuk beliau, apa yang pernah saya lakukan terhadapnya sebelum ini iaitu membantu mendapatkan keputusan terbaik buat beliau dan pasukan,” katanya kepada pemberita di kem latihan skuad Brazil di sini, pada Rabu.

Ancelotti kini menggalas misi besar untuk memimpin Brazil menamatkan kemarau 24 tahun bagi menjulang trofi Piala Dunia buat kali keenam pada kejohanan yang berlangsung di Amerika Utara itu.

Bekas pengurus AC Milan dan Chelsea itu menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-67 pada Rabu, tiga hari sebelum Selecao memulakan kempen Kumpulan C menentang Maghribi di Stadium MetLife, berhampiran New York.

Brazil dijangka turun tanpa kelibat penyerang berbisa, Neymar, yang dilaporkan bakal terlepas aksi pembukaan akibat masalah kecederaan betis meskipun sebelum ini disenaraikan dalam skuad selepas tidak membuat penampilan antarabangsa sejak 2023 akibat siri kecederaan panjang.

Ketiadaan Neymar menuntut Raphinha untuk mengetuai jentera serangan, empat tahun selepas penampilan pertamanya di Qatar yang menyaksikan dia gagal meledak sebarang gol sebelum Brazil tersingkir di peringkat suku akhir kepada Croatia menerusi penentuan sepakan penalti.

“Saya rasa saya lebih tertekan pada tahun 2022 kerana ketika itu saya masih kurang matang, baru menyertai skuad kebangsaan dan baru berpindah ke Barcelona. Sekarang, saya berasa jauh lebih bersedia,” kata bekas pemain sayap Leeds United itu yang meledak 21 gol untuk Barcelona musim ini.

Raphinha dan seorang lagi bintang, Vinicius Junior yang pernah berada di bawah bimbingan Ancelotti di Madrid memikul tanggungjawab berat di bahagian serangan selepas kedua-duanya menjadi pemain Brazil yang berada dalam senarai 30 terbaik anugerah Ballon d’Or tahun lepas.

“Kami adalah satu-satunya negara yang telah memenangi sebanyak lima kali Piala Dunia. Anda tidak boleh bermain dalam kejohanan seperti ini jika tidak bersedia menghadapi tekanan.

“Kami sangat berkeyakinan. Kami telah mengharungi tahun-tahun yang penuh kekecewaan sebelum ini walaupun mempunyai pasukan yang hebat, dan tiada seorang pun daripada kami yang mahukan kekecewaan lagi,” tegasnya.

Selain Maghribi, Brazil yang diundi dalam Kumpulan C juga dijadualkan menentang Haiti dan Scotland. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.