FIFPRO diberi hak bersuara dalam majlis FIFA

Foto REUTERS

PARIS, 11 Jun – Kesatuan Pemain Bola Sepak Profesional Antarabangsa (FIFPRO) melakar pencapaian bersejarah apabila mengumumkan bahawa pemain profesional kini akan diwakili secara rasmi dengan hak bersuara dalam mesyuarat Majlis FIFA berkuat kuasa serta-merta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wakil pemain akan berkhidmat dalam Tribunal Bola Sepak, badan kehakiman FIFA, beberapa jawatankuasa tetap dan subjawatankuasa Hak Asasi Manusia dan Kelestarian.
  • FIFPRO diberi status pemerhati rasmi dengan hak bersuara dalam sesi mesyuarat Majlis FIFA.
  • Perjanjian membawa kepada penarikan balik prosiding undang-undang dan kerjasama menangani kebajikan pemain, kalendar antarabangsa serta sistem perpindahan.

Perjanjian penting yang dimeterai dengan badan induk bola sepak dunia itu menjelang pembukaan Piala Dunia 2026 bakal menyaksikan wakil pemain menduduki kerusi dalam badan kehakiman dan jawatankuasa tetap FIFA bagi memastikan suara mereka diambil kira dalam setiap proses membuat keputusan.

Menurut kenyataan FIFPRO, wakil-wakil pemain selepas ini akan berkhidmat dalam Tribunal Bola Sepak, badan kehakiman FIFA, beberapa jawatankuasa tetap, serta sub Jawatankuasa Hak Asasi Manusia dan Kelestarian.

Langkah berkenaan mencerminkan komitmen bersama bagi memastikan suara para pemain lebih didengari dan diwakili sewajarnya dalam struktur pentadbiran tertinggi bola sepak dunia.

Melalui memorandum persefahaman itu juga, FIFPRO akan bertindak sebagai pemerhati rasmi yang mempunyai hak untuk bersuara dalam sesi mesyuarat Majlis FIFA.

Status baharu itu membolehkan kesatuan berkenaan bekerjasama secara langsung dengan FIFA bagi menangani isu-isu penting melibatkan kebajikan pemain, penstrukturan kalendar perlawanan antarabangsa, serta sistem perpindahan pemain yang sering menjadi punca pertikaian sebelum ini.

Pemeteraian perjanjian ini turut membawa kepada penarikan balik semua prosiding undang-undang yang dikemukakan terhadap FIFA oleh FIFPRO, bahagian benua, serta kesatuan ahli di peringkat domestik.

Sebelum ini, hubungan kedua-dua badan induk itu dilaporkan renggang selepas FIFPRO bertindak memfailkan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Eropah pada Oktober 2024 bagi membantah peningkatan bebanan kerja dan jadual perlawanan yang semakin padat sehingga menjejaskan fizikal para pemain profesional. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.