Aksi persahabatan Piala Dunia: Portugal jinakkan Nigeria

Foto AFP

LEIRIA, 11 Jun – Portugal kini di landasan tepat menjelang sepak mula Piala Dunia 2026 apabila menjinakkan cabaran Nigeria 2-1 dalam aksi persahabatan di sini pada Rabu, sebelum berlepas ke kem latihan pusat di Florida, Amerika Syarikat, Jumaat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pedro Neto buka jaringan; Akor Adams samakan; Francisco Conceicao meledak gol kemenangan 15 minit sebelum tamat.
  • Cristiano Ronaldo berusia 41 tampil hambar, mensia-siakan beberapa peluang; prestasi ini menimbulkan kebimbangan pemerhati.
  • Martinez kini miliki skuad lengkap, empat pemain juara Liga Juara Eropah dari PSG, dan Vitinha serta Joao Neves digandingkan bersama Bruno Fernandes.

Dalam aksi di Stadium Dr. Magalhaes Pessoa itu, penyerang serba boleh Chelsea, Pedro Neto, membuka tirai jaringan buat pasukan tuan rumah pada pertengahan babak pertama.

Bagaimanapun, Nigeria yang mempamerkan aksi bertenaga berjaya menyamakan kedudukan sebelum rehat menerusi penyerang, Akor Adams.

Memasuki babak kedua, pemain sayap Juventus, Francisco Conceicao, muncul wira skuad Selecao das Quinas apabila meledak gol kemenangan 15 minit sebelum perlawanan tamat, sekali gus menutup malam hambar ketua pasukan, Cristiano Ronaldo, yang mensia-siakan beberapa peluang keemasan.

Pada usia 41 tahun, Ronaldo bakal melakar rekod penampilan kali keenam di Piala dunia.

Namun prestasi hambar yang dipamerkannya dalam perlawanan itu mula mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemerhati bola sepak sama ada kehadirannya bakal memberi kesan terhadap permainan pantas yang menjadi identiti Martinez.

Martinez kini memiliki skuad yang lengkap susulan ketibaan empat pemain utama yang baru sahaja memenangi kejuaraan Liga Juara Eropah bersama Paris Saint-Germain (PSG).

Dalam perlawanan berkenaan, beliau memilih untuk menggandingkan pemain tengah, Vitinha dan Joao Neves, bagi mengemudi jentera tengah bersama perancang utama Manchester United, Bruno Fernandes.

Portugal bakal berdepan Republik Demokratik Congo (DRC) pada aksi pembukaan kumpulan K sebelum berdepan Uzbekistan dan Colombia untuk baki saingan peringkat kumpulan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.