Piala Dunia 2026: Semangat Heung- min membara

Penyerang Korea Selatan, Son Heung- min /AFP

GUADALAJARA, 11 Jun – Bekas bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min, bersedia melupakan prestasi hambarnya di peringkat kelab bagi memimpin Korea Selatan mencari kemenangan pertama dalam aksi pembukaan Piala Dunia menentang Republik Czech, Jumaat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suasana pasukan amat luar biasa; Son menenangkan rakan sepasukan yang terlalu bersemangat sebelum perlawanan.
  • Walaupun musim MLS kurang menyengat, Son kekal fokus dan mahu beri segala-galanya di pentas Piala Dunia.
  • Beliau menafikan ini sebagai Piala Dunia terakhirnya dan menekankan pentingnya melaksanakan tugas dengan bijak.

Meskipun hanya meledak dua gol bersama kelab baharunya, Los Angeles FC (LAFC) musim ini, penyerang berusia 33 tahun itu menegaskan keterujaannya menggalas cabaran negara di pentas tertinggi dunia buat kali keempat berturut-turut sedikit pun tidak pernah luntur.

Korea Selatan dijadualkan turun beraksi dalam perlawanan kedua kejohanan di Stadium Akron di sini, sejurus selepas aksi pembukaan Kumpulan A melibatkan pasukan tuan rumah bersama, Mexico, menentang Afrika Selatan.

Bercakap pada sidang media praperlawanan pada Rabu, Heung-min mendedahkan bahawa rakan sepasukannya kini sangat teruja untuk turun menentang Republik Czech.

Keadaan berkenaan menyebabkan beliau terpaksa memainkan peranan untuk menenangkan keadaan rakan sepasukannya di bilik persalinan.

“Rakan-rakan sepasukan saya sangat bersemangat untuk perlawanan ini, malah saya sebenarnya terpaksa menenangkan mereka. Saya berharap kerja keras kami akan membuahkan hasil, dan saya fikir kami sememangnya layak mendapatkannya.

“Suasana dalam pasukan ketika ini amat luar biasa, dan saya boleh merasakannya sendiri menerusi sorotan mata rakan-rakan saya,” katanya.

Mengulas mengenai statusnya yang hadir ke kejohanan ini selepas musim yang kurang menyengat di saingan Major League Soccer (MLS) Amerika Syarikat, ikon bola sepak Asia itu menegaskan mindanya tetap fokus dan berasa seperti kembali ke zaman kanak-kanak setiap kali beraksi di Piala Dunia.

“Setiap perlawanan Piala Dunia adalah sangat penting, sehinggakan sebagai seorang pemain, anda sanggup mempertaruhkan nyawa untuknya. Esok (Jumaat), kami akan memberikan segala-galanya yang kami ada dan lebih daripada itu,” tegas beliau.

Son turut menepis spekulasi bahawa kejohanan edisi kali ini bakal menjadi penampilan terakhirnya bersama skuad Taegeuk Warriors.

“Saya tidak pernah sekalipun mengatakan ini adalah Piala Dunia terakhir saya. Perkara paling penting adalah melaksanakan tugas saya dengan baik.

“Orang ramai boleh bercakap apa sahaja yang mereka mahu, dan saya akan memilih jalan saya dengan bijak,” ujarnya.

Selepas aksi menentang Republik Czech, Korea Selatan dijadualkan bertemu Mexico pada 18 Jun, sebelum menutup saingan peringkat kumpulan A menentang Afrika Selatan pada 24 Jun ini. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.