
LOS ANGELES, 28 JUN – Pengurus Scotland, Steve Clarke meletakkan jawatan selepas pasukannya tersingkir seawal peringkat kumpulan, kempen Piala Dunia 2026.
- Persatuan Bolasepak Scotland (SFA) mengumumkan perkembangan menerusi kenyataan di laman sosial.
- Clarke menamatkan tempoh tujuh tahun sebagai ketua jurulatih paling berjaya dalam sejarah Scotland.
- Scotland raih tiga mata: menang 1-0 lawan Haiti, tewas 0-1 kepada Maghribi, tewas 0-3 kepada Brazil.
- Clarke memuji pemain, berterima kasih atas peluang dan mengucapkan selamat maju jaya kepada pengganti.
Perkembangan itu dimaklumkan Persatuan Bolasepak Scotland (SFA) menerusi satu kenyataan dalam laman sosial pada Ahad.
“Pengendali Scotland, Steve Clarke telah meletakkan jawatan. Ketua jurulatih paling berjaya dalam sejarah pasukan kebangsaan kami itu menamatkan tempoh tujuh tahun mengendalikan pasukan selepas penyertaan Scotland di Piala Dunia FIFA 2026,” menurut kenyataan itu.
Perjalanan Scotland di pentas terbesar bola sepak itu terhenti selepas Croatia menewaskan Ghana 2-1 dalam aksi kumpulan L pagi tadi, sekali gus menyaksikan pasukan kendalian Clarke tidak lagi berpeluang untuk berada dalam kelompok lapan pasukan yang menghuni tempat ketiga terbaik di benua Amerika Utara.
Scotland memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan kemenangan 1-0 ke atas Haiti dalam Kumpulan C, sebelum tewas 0-1 kepada Maghribi.
Pasukan yang diketuai Andy Robertson itu gagal mengutip mata pada aksi ketiga menentang Brazil selepas dibelasah 3-0.
Tiga mata yang diraih menyaksikan Scotland gagal mara ke pusingan 32 terbaik susulan perbezaan jaringan gol.
“Bahagian paling menyentuh perasaan dalam perpisahan ini adalah pemain saya kerana tanpa mereka, kami tidak akan memiliki semua kenangan yang dikumpulkan sejak 2019 hingga sekarang.
“Mereka layak menerima segala pujian dan penghargaan yang diberikan dan menjadi satu penghormatan buat saya untuk menjadi pengurus mereka.
“Terima kasih atas peluang yang diberikan kepada saya dan selamat maju jaya kepada pengganti saya,” kata Clarke.