
SYDNEY, 18 Mac– Jepun meneruskan rentak cemerlang jentera serangannya apabila mudah menewaskan Korea Selatan 4-1 pada Rabu, sekali gus mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Asia Wanita untuk berdepan tuan rumah, Australia.
- Jepun mendominasi aksi, mencipta banyak peluang; telah meledak 24 gol dalam empat perlawanan sebelum ini.
- Gol daripada Riko Ueki, Maika Hamano, Saki Kumagai dan Remina Chiba, manakala Kang Chae-rim sumbang gol saguhati Korea.
- Jepun memburu gelaran Piala Asia ketiga selepas menjuarai edisi 2014 dan 2018.
Skuad The Nadeshiko yang telah meledak 24 gol dalam empat perlawanan terdahulu, mendominasi sebahagian besar aksi separuh akhir di Stadium Australia itu dengan mencipta pelbagai peluang keemasan.
Jepun membuka tirai jaringan pada minit ke-15 selepas pemain tengah, Fuka Nagano merampas bola di pinggir kawasan penalti lawan sebelum melakukan hantaran kepada Riko Ueki yang tenang menyempurnakan gol kelimanya dalam kejohanan ini.
10 minit kemudian, Jepun menggandakan kedudukan menerusi Maika Hamano yang berjaya melepasi kawalan dua pertahanan Korea Selatan sebelum melepaskan rembatan kencang dari sudut sukar yang menerjah jaring.
Dominasi Jepun berlanjutan pada babak kedua apabila kapten pasukan, Saki Kumagai menanduk masuk bola hantaran sudut Momoko Tanikawa untuk kedudukan 3-0 pada minit ke-75.
Meskipun Korea Selatan cuba bangkit menerusi gol saguhati Kang Chae-rim, Remina Chiba mematikan sisa perjuangan lawan dengan gol keempat pada minit ke-81.
Jepun bakal membuat perhitungan dengan Australia di venue yang sama pada Sabtu ini, selepas skuad The Matildas menewaskan juara sembilan kali, China 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir pada Selasa.
Jepun kini memburu gelaran Piala Asia ketiga selepas pernah menjulang trofi tersebut secara berturut-turut pada edisi 2014 dan 2018.
Sementara itu, Australia pula menyasarkan kejuaraan kedua sejak menyertai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada 2006. -REUTERS