Pemain rasialis dihukum gantung minimum 10 perlawanan – FA England

Foto Reuters

LONDON, 31 Julai – Pemain yang didapati bersalah kerana rasialis akan dikenakan penggantungan minimum 10 perlawanan bawah peraturan baharu Persatuan Bolasepak England (FA).

RINGKASAN BERITA AI
  • FA mentakrifkan tindakan rasialis atau diskriminasi termasuk etnik, warna kulit, kaum, kewarganegaraan, agama, jantina, penukaran jantina, orientasi seksual dan ketidakupayaan.
  • Panel tatatertib mesti mengenakan penggantungan standard sekurang-kurangnya 10 perlawanan; hukuman boleh meningkat jika terdapat faktor pemberat.
  • Peraturan juga terpakai kepada pengurus dan pegawai; pengulangan kes membawa hukuman lebih lama, pengakuan awal atau faktor munasabah boleh kurangkan penggantungan.

Hukuman tempoh penggantungan atas kesalahan tersebut ditingkatkan berbanding sebelum ini antara enam hingga 12 perlawanan pada musim-musim terdahulu.

Menurut FA, tindakan rasialis atau diskriminasi merangkumi rujukan secara jelas atau tersirat terhadap asal etnik, warna kulit, kaum, kewarganegaraan, agama, jantina, penukaran jantina, orientasi seksual atau ketidakupayaan.

Peraturan baharu itu turut terpakai kepada pengurus dan pegawai lain.

“FA komited untuk memastikan bola sepak bebas daripada diskriminasi. Walaupun kemajuan besar telah dicapai dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tingkah laku diskriminasi masih menjadi cabaran dalam sukan ini,” menurut FA dalam kenyataan pada Khamis.

“Langkah penambahbaikan diperlukan bagi menangani tingkah laku keji ini, dan garis panduan hukuman terkini FA kini menetapkan panel tatatertib perlu mengenakan penggantungan standard sekurang-kurangnya 10 perlawanan dalam keadaan sedemikian.”

Penggantungan melebihi 10 perlawanan kini boleh dikenakan bagi kesalahan berkaitan diskriminasi sekiranya terdapat faktor pemberat yang ketara.

Mana-mana pemain atau pegawai yang melakukan kesalahan berat kali kedua akan dikenakan hukuman lebih lama berbanding kesalahan pertama.

Penggantungan lebih singkat dengan minimum enam perlawanan, boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat faktor yang munasabah atau individu terbabit mengakui kesalahan itu pada peluang pertama.  – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.