Pang Ron–Su Yin mula kempen Terbuka Malaysia 2026 dengan langkah kanan

Beregu campuran negara Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin ketika menentang beregu campuran Denmark Mathias Christiansen dan Alexandra Boje pada pusingan pertama kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Petronas 2026 di Stadium Axiata Arena di sini, hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Januari – Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron–Cheng Su Yin, memulakan kempen Terbuka Malaysia 2026 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan pertama mereka di kejohanan itu pada aksi pusingan pertama, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin menewaskan pasangan Denmark untuk meraih kemenangan pertama mereka di Terbuka Malaysia.
  • Kemenangan datang selepas bangkit dari kekalahan set pertama, memenangi dua set berikutnya secara bergaya.
  • Beraksi di laman sendiri memberi motivasi kuat; pasangan dapat sokongan jurulatih dan penyokong untuk teruskan momentum.

Pada penampilan kedua di Terbuka Malaysia sejak membuat debut pada 2025, pasangan ranking ke-21 dunia itu menewaskan wakil Denmark, Mathias Christiansen–Alexander Boje (ranking ke-12), sekali gus menamatkan penantian selepas tiga pertemuan sebelum ini tidak memihak kepada mereka.

Dalam perlawanan yang berlangsung sengit, Pang Ron–Su Yin bangkit selepas tewas set pertama 20-22 sebelum menguasai dua set berikutnya 21-18, 21-17 untuk memastikan kemenangan manis di hadapan penyokong sendiri.

Su Yin menyifatkan kemenangan itu cukup bermakna memandangkan ia adalah kemenangan pertama mereka beraksi di gelanggang sendiri.

“Saya rasa sangat puas hati dan gembira. Ini kemenangan pertama kami bermain di Malaysia. Harap dapat teruskan momentum ini. Saya tak fikir terlalu banyak, fokus satu mata demi satu mata. Pasangan dan jurulatih juga banyak beri sokongan,” katanya.

Sementara itu, Pang Ron berkata kelebihan beraksi di laman sendiri menjadi faktor pendorong utama.

“Bermain di laman sendiri membuatkan saya lebih bersemangat. Kami nak buktikan kami masih mampu bersaing dan sangat gembira dapat menang hari ini,” katanya.

Pasangan itu dijadualkan bertemu rakan sepasukan, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, pada Khamis ini.