MBSJ FC juara Futsal Wanita Kebangsaan 2026

Foto FB FAM

KUALA LUMPUR, 24 Januari Pasukan MBSJ FC mengesahkan status sebagai pasukan terbaik negara apabila dinobatkan juara Kejohanan Futsal Wanita Kebangsaan 2026 (KFWK26) selepas menewaskan Perdana BTR FC 2-1 pada aksi final yang berlangsung sengit, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MBSJ FC dinobat juara KFWK26 selepas menewaskan Perdana BTR FC 2-1 dalam final sengit.
  • MBSJ unggul dengan gol penyamaan Syafiqah dan gol sendiri lawan oleh Asma Junaidi.
  • Pemain MBSJ raih anugerah individu utama termasuk Penjaga Gol Terbaik Noorasyeimah Rashid.

Perlawanan akhir menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sejak awal permainan sehingga Nurin Umairah terlebih dahulu membuka jaringan buat Perdana BTR FC pada minit ke-21, sebelum MBSJ FC bangkit menyamakan kedudukan menerusi Syafiqah Zainal pada minit ke-30.

Momentum terus memihak MBSJ FC apabila tekanan berterusan memaksa pertahanan lawan melakukan kesilapan, sekali gus menghadiahkan gol sendiri oleh Asma Junaidi pada minit ke-39 yang memastikan kemenangan milik pasukan itu.

Keputusan tersebut menyaksikan MBSJ FC menamatkan kempen dengan penuh bergaya, manakala Perdana BTR FC berpuas hati sebagai naib juara, diikuti UiTM Lioness FC di tempat ketiga.

Kejohanan ini turut menyaksikan beberapa anugerah individu menjadi tumpuan apabila pemain Perdana BTR FC, Lyana Soberi dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan.

Anugerah Penjaring Terbanyak pula dikongsi Fatin Shahida Azmi dari MBSJ FC dan Farahiyah Ridzuan dari MBPJ FC selepas masing-masing mengumpul sembilan gol sepanjang kejohanan.

Sementara itu, Noorasyeimah Rashid dari MBSJ FC dipilih sebagai Penjaga Gol Terbaik, melengkapkan kejayaan pasukan itu yang menguasai sebahagian besar kategori utama kejohanan.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi bersama Naib Presiden merangkap Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail.