
KUALA LUMPUR, 21 September – Penganjuran perlumbaan basikal berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 sedia dimanfaatkan sepenuhnya Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Malaysia (MASOC) 2027, dengan menjalin kerjasama sebagai penaja jersi pecut, pada edisi kali ini.
- Komitmen MASOC 2027 merancakkan promosi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN melalui pakej pulangan penajaan lengkap dan penyiaran televisyen antarabangsa.
- Sinergi promosi berimpak tinggi memerlukan ruang promosi efektif dan berkesan untuk capaian antarabangsa.
- Penjenamaan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 ditonjolkan menerusi Jersi Raja Pecut dan maskot rasmi Tuah.
- LTdL 2026 jadi platform promosi besar dengan 20 pasukan serta laluan berperingkat sepanjang perlumbaan.
Ketika menyatakan komitmen itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub memaklumkan kerjasama itu sebagai sebahagian usaha merancakkan lagi promosi Sukan Sea serta Sukan Para ASEAN yang bakal berlangsung tahun depan di Malaysia.
“Kerjasama berdasarkan keseluruhan pakej pulangan penajaan yang lengkap, khususnya peluang mempromosikan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN menerusi penyiaran televisyen antarabangsa.
“Sinergi promosi berimpak tinggi itu juga antara lain memerlukan ruang promosi yang efektif dan berkesan,”katanya pada majlis pengumuman kerjasama MASOC 2026 dengan LTdL 2026.
Beliau turut menyatakan penjenamaan Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN 2027, terlihat menerusi Jersi Raja Pecut (King of Sprint Jersey) serta maskot rasmi Sukan Sea, “Tuah”.
LTdL 2026 dijadual bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar, Ahad ini yang akan berakhir dengan Peringkat 8 Muar ke Putrajaya, 4 Oktober ini, melibatkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer dengan 20 pasukan mengambil bahagian pada edisi ke-30 itu.