GP Jepun : Hakim Danish optimis catat keputusan lebih baik

Hakim Danish sasar catat keputusan lebih cemerlang 

KUALA LUMPUR, 21 September – Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli semakin optimis mampu mencipta keputusan lebih baik pada Grand Prix (GP) Jepun bermula 2 hingga 4 Oktober ini selepas meraih penamat kesembilan di GP Austria, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan itu beri suntikan motivasi dan bantu perbaiki kedudukan dalam carta Kejuaraan Dunia Moto3.
  • Di Litar Red Bull Ring beliau catat masa 33 min 45.917 saat dan kutip tujuh mata.
  • Mengumpul 101 mata setakat ini dan menduduki tangga ketujuh keseluruhan.
  • Bertekad capai keputusan lebih cemerlang pada perlumbaan seterusnya dan berterima kasih atas sokongan semua pihak.

Menerusi kenyataan, beliau mengakui keputusan itu bukan saja memberikan suntikan motivasi, malah membantu memperbaiki kedudukan dalam carta keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3.

Beraksi di Litar Red Bull Ring, beliau berjaya mencatat masa 33 minit 45.917 saat (s) untuk mengutip tujuh mata berharga hasil persembahan konsisten dalam perlumbaan berkenaan.

Tambahan tujuh mata itu menyaksikan pelumba berusia 19 tahun itu kini mengumpul 101 mata untuk menduduki tangga ketujuh keseluruhan.

Malah, beliau melebarkan jurang kepada satu mata ke atas pelumba Honda Team Asia dari Indonesia, Veda Pratama yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-13.

“Pada awal perlumbaan, saya melakukan permulaan yang baik dan cuba memacu jentera semaksimum mungkin sehingga berjaya memperbaiki beberapa kedudukan.

“Bagaimanapun, pada pertengahan saingan, akibat terlalu memaksa jentera, saya telah melakukan kesilapan yang menyebabkan ketinggalan semula ke belakang.

“Menjelang penghujung perlumbaan, saya berusaha untuk bangkit semula dan memecut bagi memintas beberapa pelumba di hadapan dan keserasian dengan jentera juga bertambah baik.

“Saya amat teruja untuk perlumbaan seterusnya di Asia, khususnya di Jepun dan bertekad untuk mencatatkan keputusan yang lebih cemerlang.

“Terima kasih atas sokongan berterusan semua pihak,” katanya menjelang perlumbaan di Mobility Resort Motegi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.