Sukan Asia 2026 : Kuartet 4×200 meter gaya bebas lelaki tempah slot ke peringkat akhir

Skuad negara meneruskan usaha memburu pingat pada aksi final, malam ini

KUALA LUMPUR, 21 September – Kem renang negara menempah slot ke peringkat akhir selepas kuartet 4×200 meter (m) gaya bebas lelaki mempamerkan aksi konsisten pada akhir saingan, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Khiew Hoe Yan, Ananda Lim, Jaydan Tan dan Arvin Shaun Singh Chahal tamat kelima keseluruhan, ketiga Saringan 2, catat 7:22.05.
  • Andrew Goh tersingkir acara 100m kuak dada, catat 1:03.50, ke-23 keseluruhan dan gagal ke lapan perenang terbaik.
  • Cabaran Malaysia 50m gaya bebas tamat; Ananda 23.16s (ke-24 keseluruhan), Tong Yu Jing DNS; Kim Young-beom catat 21.71s rekod temasya.

Gandingan Khiew Hoe Yan, Ananda Lim, Jaydan Tan dan Arvin Shaun Singh Chahal mengesahkan kemaraan selepas menamatkan saingan pada kedudukan kelima keseluruhan dengan mencatatkan masa 7 minit 22.05 saat (s) untuk menduduki tempat ketiga dalam Saringan 2, di belakang gergasi renang Asia, China (7:11.70s) dan Jepun (7:13.02s).

Walaupun, tidak memperbaharui rekod kebangsaan, pencapaian itu membolehkan skuad negara meneruskan usaha memburu pingat pada aksi final.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami perenang harapan negara, Andrew Goh yang tersingkir awal dalam acara 100m kuak dada lelaki.

Pemegang rekod kebangsaan itu sekadar mencatatkan masa 1:03.50s dalam Saringan 3, sekali gus berada pada kedudukan ke-23 keseluruhan dan gagal melayakkan diri ke kelompok lapan perenang terbaik.

Saringan didominasi wakil Jepun, Shin Ohashi yang mencatatkan 59.38s, disusuli perenang Korea Selatan, Choi Dong Yeol (59.53s) serta wakil Hong Kong, Adam Mak Sai Ting (1:00.25s) yang masing-masing melangkah ke pusingan akhir.

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara 50m gaya bebas lelaki turut berakhir pada peringkat saringan menerusi Ananda Lim dan Tong Yu Jing.

Ananda sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh Saringan 3 dengan masa 23.16s, meletakkannya di kedudukan ke-24 daripada 48 perenang secara keseluruhan, manakala Yu Jing pula tidak memulakan perlumbaan (DNS).

Acara menyaksikan perenang Korea Selatan, Kim Young-beom mencuri tumpuan apabila mencatatkan masa terpantas 21.71s, sekali gus meleburkan rekod temasya milik rakan senegaranya, Ji Yu-chan (21.72s) yang dicatatkan pada edisi Hangzhou 2022.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.