Liga Negara-Negara UEFA: Ireland benam Israel, pemain protes solidariti Gaza

Pemain pasukan Republik Ireland menundukkan kepala ketika lagu Israel dimainkan sebelum perlawanan Liga Negara-Negara UEFA/ AFP

ISTANBUL, 28 September – Ireland menewaskan Israel 3-0 dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA pada Ahad, dalam perlawanan yang diwarnai beberapa bentuk protes oleh pemain Ireland terhadap perang Israel di Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemain Ireland menundukkan kepala, pakai lilitan lengan hitam; sesi berjabat tangan dan pertukaran panji tidak diadakan sebagai protes terhadap serangan di Gaza.
  • Jack Moylan menanggalkan lilitan hitam, mencium dan mengangkatnya sebagai tanda solidariti dengan rakyat Gaza selepas menjaringkan gol.
  • Penjaga gol Gavin Bazunu menarik diri, dan aksi timbal balik dipindahkan dari Dublin ke Serbia tanpa penonton kerana kontroversi.

Sebelum tendang mula di Debrecen, Hungary, pemain Ireland menundukkan kepala ketika lagu kebangsaan Israel dimainkan dan memakai lilitan lengan berwarna hitam bagi memperingati rakyat Palestin yang terkorban di Gaza.

Protes itu berterusan selepas lagu kebangsaan dimainkan apabila sesi berjabat tangan yang menjadi tradisi sebelum perlawanan tidak diadakan. Kedua-dua pasukan juga tidak berbaris untuk berjabat tangan, manakala kapten kedua-dua pasukan tidak bertukar panji-panji (pennant) atau berjabat tangan.

Di atas padang, Ireland pantas menguasai permainan dengan mendahului 3-0 dalam tempoh 25 minit pertama.

Jack Moylan yang menjaringkan gol ketiga Ireland, meraikan jaringannya dengan menanggalkan lilitan lengan hitamnya, mengucupnya dan mengangkatnya ke udara sebagai tanda solidariti dengan Gaza.

Tiada sebarang pertukaran jersi antara pemain dilakukan selepas wisel penamat.

Perlawanan itu berlangsung ketika perhatian semakin tertumpu kepada pendirian Ireland terhadap perang Israel di Gaza. Perlawanan berkenaan sebelum ini diragui akan berlangsung susulan gesaan di Ireland supaya pasukan itu memboikot aksi berkenaan.

Ketua jurulatih Ireland Heimir Hallgrimsson sebelum perlawanan berkata beberapa pemain berasa “amat tidak selesa” untuk berdepan Israel dan menyifatkan pasukan itu sebagai bermain “menentang genosid”.

Penjaga gol Ireland Gavin Bazunu turut memutuskan untuk tidak menyertai perlawanan pada Ahad atau aksi timbal balik minggu depan disebabkan oleh “pembunuhan orang awam yang tidak berdosa”.

Aksi timbal balik, yang secara rasmi merupakan perlawanan di tempat sendiri bagi Ireland, telah dipindahkan dari Dublin ke Backa Topola, Serbia dan dijadual berlangsung tanpa kehadiran penonton pada 4 Okt ini.- BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.