Ketiadaan Beasley tinggalkan kesan, skuad tetap optimis buru pingat Komanwel

Ketua Jurulatih Skuad Berbasikal Trek Harnizam Basri (kiri) melakukan latihan bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom/Foto BERNAMA

NILAI, 7 Julai – Pasukan trek berbasikal kebangsaan mengakui pemergian Pengarah Teknikalnya, John Beasley selepas kontraknya berakhir pada Januari depan akan meninggalkan kesan besar kepada skuad negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harnizam anggap Beasley seperti bapa; kerjasama 16 tahun memberi pengaruh mendalam kepada jurulatih dan skuad.
  • Beasley membantu mewujudkan Velodrom Nasional dan memacu peningkatan pencapaian skuad berbasikal trek negara.
  • Shah Firdaus sifatkan Beasley figura teknikal penting; beliau tetap optimis mengejar pingat Komanwel 2026.
  • Ketua Kontinjen Datuk Awalan puji kesiapsiagaan fizikal, mental dan taktikal skuad yang menjalani latihan intensif.

Ketua Jurulatih Berbasikal Trek Kebangsaan, Harnizam Basri berkata, beliau telah bekerjasama dengan Beasley selama 16 tahun.

“Memang berat bagi saya kerana kami telah bekerja bersama selama 16 tahun dan saya menganggap beliau seperti bapa saya,” katanya ketika ditemui pemberita.

“Impak yang ditinggalkan sangat besar kerana wujudnya Velodrom Nasional ini adalah hasil perjuangannya termasuk tahap pencapaian skuad berbasikal sekarang,” tambahnya.

Sementara itu, pelumba berbasikal trek kebangsaan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menyifatkan Beasley bukan sekadar jurulatih biasa, malah figura penting kepada barisan pelumba negara menerusi kepakaran teknikal yang dimilikinya.

Bagaimanapun, Shah Firdaus tetap optimis untuk mempamerkan aksi terbaik bersama rakan sepasukan selain berusaha meraih pingat pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland yang bermula 23 Julai ini.

Media sebelum ini melaporkan John Beasley akan menamatkan kontraknya pada Januari depan selepas memimpin program berbasikal trek negara sejak 2006.

Dalam perkembangan sama, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2026, Datuk Awalan Abdul Aziz berpuas hati dengan tahap persediaan semasa skuad berbasikal trek yang kini giat menjalani latihan intensif bagi memburu pingat.

“Saya nampak mereka bersedia. Yang paling penting fizikal dan mental mereka bersedia. Sebab sukan berbasikal ini ada kemahiran, taktikal dan juga mental. Kita perlu pastikan mereka bersedia dari kedua-dua segi,” katanya.

Beliau sebelum itu meluangkan masa meninjau sesi latihan skuad berbasikal trek kebangsaan di Velodrom Nasional di sini sebelum menghadapi temasya sukan empat tahun sekali itu.

Kem kebangsaan meletakkan harapan kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara keirin lelaki, manakala Nurul Izzah Izzati Asri pula dalam acara 1 kilometer ujian masa, selain mengharapkan pengalaman Datuk Azizulhasni Awang untuk menyumbang pingat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.